16. Beta mendengar bahawa kamu dapat mentafsirkan rahsia-rahsia yang dalam dan tersembunyi. Jika kamu dapat membaca dan mentafsirkan tulisan itu, maka kamu akan diberikan pakaian diraja, iaitu jubah ungu dan kalung emas tanda kebesaran, dan kamu akan dilantik menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan ini.”
17. Daniel menjawab, “Hamba mohon tuanku menyimpan hadiah tuanku itu untuk tuanku sendiri, atau memberikannya kepada orang lain. Hamba akan membaca dan mentafsirkan tulisan itu bagi tuanku.
18. Allah Yang Maha Tinggi telah melantik ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar menjadi raja yang besar, serta memberi baginda kehormatan dan keagungan.
19. Baginda menjadi begitu besar sehingga orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa takut dan gentar kepadanya. Baginda membunuh atau membiarkan seseorang hidup menurut kesukaannya. Baginda meninggikan atau merendahkan sesiapa saja menurut kehendaknya.
20. Tetapi kerana baginda menjadi sombong, keras kepala, dan kejam, baginda diturunkan daripada takhta lalu kehilangan keagungannya.
21. Baginda diusir jauh daripada masyarakat, dan akalnya menjadi seperti akal binatang. Baginda tinggal bersama-sama keldai, makan rumput seperti lembu, dan tidur di lapangan terbuka sehingga tubuhnya dibasahi embun. Akhirnya baginda mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas semua kerajaan manusia, dan Dia memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
22. Tetapi tuanku sendiri, puteranya, tidak merendahkan diri, walaupun tuanku tahu akan segala hal itu.
23. Tuanku telah menentang Tuhan penguasa di syurga. Tuanku telah menggunakan mangkuk-mangkuk yang diambil dari Rumah TUHAN. Tuanku, para pembesar tuanku, semua isteri, dan gundik tuanku telah minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu, serta memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu - dewa-dewa yang tidak dapat melihat, atau mendengar, atau mengetahui apa-apa. Tuanku tidak menghormati Allah yang berkuasa menentukan sama ada tuanku hidup atau mati, dan yang menguasai segala perbuatan tuanku.
24. Itulah sebabnya Allah menyuruh tangan itu menulis tulisan ini.
25. Tulisan itu ialah ‘Dihitung, dihitung, ditimbang, dan dibahagi.’
26. Dihitung bermakna Allah telah menghitung masa pemerintahan tuanku, dan mengakhirinya.
27. Ditimbang bermakna tuanku telah ditimbang dan ternyata terlalu ringan.
28. Dibahagi bermakna kerajaan tuanku akan terbahagi dan diberikan kepada orang Media dan Persia.”
29. Pada saat itu juga Raja Belsyazar memerintahkan hamba-hambanya mengenakan pakaian diraja, iaitu jubah ungu pada Daniel, dan kalung emas tanda kebesaran pada lehernya. Raja melantik dia menjadi penguasa ketiga dalam kerajaan itu.
30. Pada malam itu juga Raja Belsyazar, raja Babilonia dibunuh.