3. Alangkah besarnya keajaiban yang dinyatakan Allah!Alangkah hebatnya mukjizat yang dilakukan-Nya!Allah adalah raja selama-lamanya;Dia memerintah sepanjang masa.
4. Beta hidup selesa di istana beta, dan menikmati kemewahan.
5. Tetapi pada suatu hari ketika beta beradu, beta bermimpi dan mendapat penglihatan yang mengerikan.
6. Beta memerintahkan semua penasihat di Babel supaya datang menghadap dan mentafsirkan mimpi beta itu.
7. Semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum dibawa menghadap. Beta menceritakan mimpi beta, tetapi mereka tidak dapat mentafsirkannya.
8. Kemudian Daniel datang menghadap beta. Dia juga dinamakan Beltsazar, menurut nama dewa beta. Daniel memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci, maka beta menceritakan mimpi beta kepadanya. Beta bertitah:
9. Hai Beltsazar, ketua orang berilmu, beta tahu bahawa roh dewa-dewa yang suci ada padamu, dan kamu faham segala rahsia yang dalam. Inilah mimpi beta. Berikanlah tafsirannya.
10. Ketika beta beradu, beta nampak sebatang pokok yang besar di tengah-tengah bumi.
11. Pokok itu bertambah besar dan kuat sehingga puncaknya sampai ke langit dan dapat dilihat oleh setiap orang di dunia.
12. Daun-daunnya segar dan buahnya lebat sekali - cukup untuk dimakan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya; burung membuat sarang di dahannya, dan semua makhluk hidup makan buah-buahnya.
13. Sedang beta memikirkan penglihatan itu, beta nampak satu malaikat turun dari syurga. Malaikat itu siap sedia dan berwaspada.
14. Dia berkata dengan suara yang lantang, ‘Tebanglah pokok itu, dan potonglah dahan-dahannya. Gugurkanlah daunnya dan taburkanlah buah-buahnya. Usirlah binatang di bawahnya dan burung yang bersarang di dahannya.
15. Tetapi tinggalkanlah tunggulnya di tanah, dan ikatlah dengan rantai besi dan gangsa. Tinggalkanlah tunggul itu di padang rumput.Biarlah lelaki itu kena embun dan biarlah dia tinggal bersama-sama binatang dan tumbuh-tumbuhan lain.