6. Sesiapa yang tidak sujud dan menyembahnya akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala.”
7. Oleh itu, sebaik sahaja mereka mendengar bunyi alat-alat muzik itu, orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa sujud serta menyembah patung emas yang didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
8. Ketika itulah beberapa orang Babilonia mengambil kesempatan untuk mencari kesalahan orang Yahudi.
9. Mereka berkata kepada Raja Nebukadnezar, “Daulat tuanku!
10. Tuanku telah bertitah bahawa sebaik sahaja muzik bermula, setiap orang harus sujud dan menyembah patung emas itu.
11. Sesiapa yang tidak sujud untuk menyembahnya akan dibuang ke dalam relau yang bernyala-nyala.
12. Beberapa orang Yahudi yang tuanku lantik menjadi pentadbir wilayah Babel tidak patuh akan perintah tuanku. Mereka ialah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka tidak sujud dan menyembah dewa tuanku, mahupun patung yang tuanku dirikan itu.”
13. Mendengar hal itu raja naik murka lalu memberikan perintah supaya ketiga-tiga orang itu dibawa menghadapnya.
14. Raja bertitah kepada mereka, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak mahu menyembah dewa beta dan tidak mahu sujud di hadapan patung emas yang telah beta dirikan itu?
15. Sekarang apabila kamu mendengar bunyi trompet, seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, sujudlah serta sembahlah patung itu. Jika tidak, kamu akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala. Dewa manakah yang dapat menyelamatkan kamu?”
16. Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri.
17. Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami.
18. Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”
19. Ketika itu Raja Nebukadnezar sangat murka terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga mukanya menjadi merah padam. Oleh itu raja memerintahkan orang-orangnya memanaskan relau tujuh kali lebih panas daripada biasa.