Daniel 3:14-27 Alkitab Berita Baik (BM)

14. Raja bertitah kepada mereka, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak mahu menyembah dewa beta dan tidak mahu sujud di hadapan patung emas yang telah beta dirikan itu?

15. Sekarang apabila kamu mendengar bunyi trompet, seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, sujudlah serta sembahlah patung itu. Jika tidak, kamu akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala. Dewa manakah yang dapat menyelamatkan kamu?”

16. Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri.

17. Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami.

18. Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”

19. Ketika itu Raja Nebukadnezar sangat murka terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga mukanya menjadi merah padam. Oleh itu raja memerintahkan orang-orangnya memanaskan relau tujuh kali lebih panas daripada biasa.

20. Baginda memerintah beberapa orang askar yang paling kuat untuk mengikat ketiga-tiga orang itu dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu.

21. Askar raja pun mengikat tiga orang itu yang masih berpakaian lengkap - baju labuh, jubah, serban dan semua pakaian lain - lalu melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala.

22. Oleh sebab raja memberikan perintah supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, api itu membakar sampai mati askar-askar yang melemparkan tiga orang itu ke dalam relau.

23. Sadrakh, Mesakh, dan Abednego jatuh ke dalam relau yang bernyala-nyala itu, dalam keadaan terikat.

24. Tiba-tiba Raja Nebukadnezar berdiri kerana terkejut dan bertanya kepada pegawai-pegawainya, “Bukankah kita mengikat tiga orang dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu?”Mereka menjawab, “Benar, tuanku.”

25. “Tetapi mengapakah beta nampak empat orang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu?” tanya raja. “Mereka tidak terikat, dan nampaknya mereka tidak cedera. Orang keempat itu rupanya seperti malaikat.”

26. Lalu Raja Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan bertitah, “Sadrakh! Mesakh! Abednego! Hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah!” Mereka pun keluar dengan segera.

27. Semua raja, gabenor, ketua daerah, dan pegawai-pegawai yang lain berkumpul untuk melihat tiga orang yang tidak terbakar oleh api itu. Rambut mereka tidak hangus, pakaian mereka tidak terbakar, bahkan mereka tidak berbau asap pun.

Daniel 3