25. Dengan segera, Ariokh membawa Daniel menghadap Raja Nebukadnezar. Dia berkata kepada raja, “Hamba telah menjumpai seorang Yahudi dalam buangan, yang dapat mentafsirkan mimpi tuanku.”
26. Kemudian raja bertanya kepada Daniel yang juga disebut Beltsazar, “Dapatkah kamu memberitahu beta mimpi beta dan mentafsirkannya?”
27. Daniel menjawab, “Tiada orang berilmu, ahli sihir, penilik atau ahli nujum yang dapat melakukan hal itu.
28. Tetapi Allah penguasa di syurga, menyatakan segala rahsia; Dia telah memberitahu tuanku hal masa depan. Oleh itu perkenanlah hamba menceritakan mimpi tuanku, iaitu penglihatan yang tuanku nampak ketika tuanku beradu.
29. Ketika tuanku beradu, tuanku bermimpi tentang perkara masa depan, dan Allah yang menyatakan segala rahsia telah memperlihatkan perkara yang akan berlaku itu kepada tuanku.
30. Allah telah menjelaskan rahsia mimpi itu kepada hamba, bukan kerana hamba lebih bijak daripada sesiapa pun, tetapi supaya tuanku boleh memahami tafsiran mimpi itu dan mengerti akan isi hati tuanku.
31. Dalam penglihatan itu tuanku nampak sebuah patung di hadapan tuanku. Patung itu sangat besar, berkilau-kilauan, dan sungguh menakutkan.
32. Kepalanya dibuat daripada emas tulen; dada dan lengannya daripada perak; pinggang dan pinggulnya daripada gangsa;
33. paha dan betisnya daripada besi, sedangkan kakinya sebahagian daripada besi dan sebahagian lagi daripada tanah liat.
34. Ketika tuanku sedang memandangnya, sebuah batu besar jatuh dari tebing dengan sendirinya, dan menimpa kaki patung yang dibuat daripada besi dan tanah liat itu, lalu menghancurkannya.
35. Dengan serta-merta patung itu roboh dan menjadi timbunan besi, tanah liat, gangsa, perak, dan emas yang hancur luluh seperti debu di tempat mengirik gandum pada musim panas. Lalu angin pula meniupnya tanpa meninggalkan sebarang kesan. Tetapi batu itu menjadi sebuah gunung yang memenuhi seluruh bumi.
36. Itulah mimpi tuanku. Sekarang ini pula tafsirannya.
37. Tuanku raja yang agung. Allah penguasa di syurga menjadikan tuanku seorang maharaja. Dia memberi tuanku kuasa, kekuatan, dan kehormatan.
38. Dia menjadikan tuanku penguasa atas seluruh bahagian bumi yang berpenduduk, bahkan penguasa atas binatang dan burung sekalipun. Tuankulah kepala yang dibuat daripada emas itu.
39. Selepas kerajaan tuanku berakhir, akan bangkit sebuah kerajaan yang tidak seagung kerajaan tuanku. Selepas itu akan muncul kerajaan ketiga, yang dilambangkan oleh gangsa, yang akan memerintah seluruh bumi.
40. Kemudian sebuah kerajaan keempat yang sekuat besi akan meremukkan dan menghancurkan segala sesuatu. Sebagaimana besi menghancurkan segala sesuatu, demikian juga kerajaan itu akan meremukkan dan menghancurkan semua kerajaan yang lain itu.