4. Tetapi pada kemuncak kekuasaannya, kerajaannya akan pecah dan terbahagi empat. Raja-raja yang bukan keturunannya akan menggantikan dia sebagai raja, tetapi mereka tidak sekuat dia.
5. Raja Mesir akan menjadi kuat. Tetapi salah seorang panglimanya akan menjadi lebih kuat, dan akan memerintah kerajaan yang lebih besar.
6. Selepas beberapa tahun, raja Mesir akan mengikat perjanjian untuk bersekutu dengan raja Siria, dan mengahwinkan puterinya dengan raja itu. Tetapi perjanjian untuk bersekutu itu tidak kekal. Puteri itu, suaminya, anaknya, dan hamba-hamba yang mengikutnya akan dibunuh semuanya.
7. Tidak berapa lama kemudian, salah seorang keluarganya akan menjadi raja. Dia akan menyerang tentera raja Siria, masuk ke dalam kubunya dan mengalahkan mereka.
8. Pada waktu dia pulang ke Mesir, dia akan membawa patung-patung dewa mereka, serta alat-alat emas dan perak yang ditahbiskan untuk dewa-dewa itu. Selama beberapa tahun dia tidak akan memerangi Siria.
9. Kemudian raja Siria akan menyerang negeri Mesir, tetapi raja itu akan dipukul mundur.
10. Putera-putera raja Siria akan bersiap untuk berperang dan membentuk pasukan tentera yang besar. Salah seorang daripada mereka akan menyerbu seperti banjir dan menyerang pertahanan musuh.
11. Raja Mesir akan menjadi sangat murka, lalu berperang dengan raja Siria dan mengalahkan pasukan tenteranya yang besar itu.
12. Raja Mesir akan berasa bangga kerana kemenangannya, dan kerana banyak askar yang telah dibunuhnya, tetapi dia tidak akan terus menang.
13. Raja Siria akan pulang dan membentuk pasukan tentera yang lebih besar daripada yang pertama. Apabila masanya tiba, dia akan kembali dengan pasukan yang besar dan yang bersenjata lengkap.
14. Kemudian banyak orang akan memberontak terhadap raja Mesir. Bahkan beberapa orang yang ganas daripada bangsamu pun akan memberontak, hai Daniel, kerana penglihatan yang dilihat mereka, tetapi mereka akan dikalahkan.
15. Lalu raja Siria akan mengepung sebuah kota yang berkubu dan mengalahkannya. Tentera Mesir tidak dapat berperang lagi, bahkan askarnya yang terkuat akan kehabisan tenaga.
16. Penguasa Siria akan memperlakukan mereka dengan sesuka hati tanpa tentangan. Dia akan menduduki tanah yang permai dan menguasai seluruhnya.
17. Raja Siria akan menggerakkan kesemua pasukan tenteranya untuk menyerang musuh. Untuk menguasai kerajaan musuhnya, raja itu akan membuat persetujuan dengan musuhnya itu dan mengahwinkan puterinya dengan musuh, tetapi rancangan itu tidak akan berjaya.
18. Selepas itu raja Siria akan menyerang bangsa-bangsa yang tinggal di tepi laut, dan menakluki banyak bangsa. Tetapi seorang pemimpin bangsa asing akan mengalahkan raja Siria dan akan menghentikan hinaan yang dilakukannya, lalu membalas hinaan itu kepadanya.
19. Raja Siria akan pulang ke kubu-kubu negerinya sendiri tetapi dia akan dikalahkan, dan demikianlah kesudahannya.
20. Dia akan digantikan oleh seorang raja lain. Raja itu akan mengutus seorang pegawai untuk memaksa rakyat membayar cukai dengan tujuan menambah kekayaan kerajaannya. Dalam masa singkat raja itu akan dibunuh, tetapi bukan secara terang-terang dan bukan dalam peperangan.”
21. Malaikat itu melanjutkan penerangannya, “Raja Siria yang berikut adalah orang yang jahat. Dia tidak berhak menjadi raja, tetapi dia akan datang dengan tiba-tiba dan merampas kuasa dengan tipu daya.