Daniel 11:23-37 Alkitab Berita Baik (BM)

23. Dengan menandatangani banyak perjanjian, dia akan menipu bangsa-bangsa dan menjadi semakin kuat, walaupun dia hanya memerintah sebuah kerajaan yang kecil.

24. Dia akan menyerang sebuah wilayah yang kaya dan subur tanpa memberikan amaran dan melakukan perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan oleh nenek moyangnya. Kemudian kepada pengikut-pengikutnya, dia akan membahagi-bahagikan barang rampasan dan kekayaan yang diperolehnya dalam peperangan. Dia akan membuat rancangan untuk menyerang kota-kota yang berkubu, tetapi waktunya segera akan habis.

25. Dengan berani dia akan membentuk pasukan tentera yang besar untuk menyerang raja Mesir, yang telah bersedia melawan dengan angkatan perangnya yang besar dan kuat. Tetapi raja Mesir akan tertipu dan tidak berjaya.

26. Para penasihat raja Mesir yang paling rapat dengannya akan menjatuhkan dia. Banyak askarnya akan terbunuh dan tenteranya dihapuskan.

27. Kemudian dua orang raja itu akan duduk dan makan bersama-sama pada satu meja, tetapi niat mereka jahat. Mereka akan menipu satu sama lain, tetapi mereka tidak akan berjaya kerana masa mereka belum sampai.

28. Raja Siria akan pulang dengan segala barang jarahannya. Dia bertekad untuk memusnahkan agama umat Allah. Dia akan berbuat sesuka hatinya, lalu pulang ke negerinya.

29. Tidak lama kemudian, raja Siria akan menyerang Mesir lagi, tetapi kali ini akibatnya lain daripada kali yang pertama.

30. Orang Roma akan datang dengan kapal-kapal laut dan memerangi raja Siria, dan raja akan menjadi takut.Kemudian raja Siria akan pulang dengan murka sekali, lalu berusaha menghancurkan agama umat Allah. Raja Siria akan mengikut nasihat orang yang telah meninggalkan agama itu.

31. Beberapa orang askar raja akan menajiskan Rumah TUHAN. Mereka akan menghentikan korban harian, dan mendirikan ‘Bencana Yang Dahsyat’ itu.

32. Dengan tipu daya raja akan berjaya mendapat sokongan orang yang telah meninggalkan agama itu, tetapi pengikut-pengikut Allah akan melawannya.

33. Para pemimpin rakyat yang bijaksana akan menolong banyak orang mendapat pengertian, tetapi untuk sementara waktu beberapa orang antara mereka akan terbunuh di medan perang atau dibakar sehingga mati. Ada pula yang dirompak dan dijadikan orang tawanan.

34. Semasa pembunuhan itu berlaku, umat Allah akan mendapat sedikit pertolongan, walaupun orang yang menyertai golongan itu hanya mementingkan diri sendiri.

35. Beberapa orang pemimpin yang bijaksana itu akan dibunuh, tetapi akibatnya umat itu akan menjadi murni. Perkara itu akan berlangsung sehingga akhir jangka masa yang telah ditentukan oleh Allah.

36. Raja Siria akan berbuat sesuka hati. Dengan sombong, raja akan menganggap dirinya lebih besar daripada dewa mana pun, bahkan lebih berkuasa daripada Allah Yang Maha Tinggi. Raja itu berbuat demikian sehingga tiba waktunya Allah menghukum dia. Allah akan melakukan tepat seperti rancangan-Nya.

37. Raja itu tidak akan mengendahkan dewa yang disembah oleh nenek moyangnya, dan juga dewa yang dipuja kaum wanita. Sebenarnya raja itu tidak akan mengendahkan semua dewa kerana pada sangkanya dirinya lebih besar daripada semua itu.

Daniel 11