Daniel 11:2-14 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Semua yang aku katakan ini benar.”Malaikat itu berkata, “Tiga orang raja lagi akan memerintah Persia, diikuti oleh raja keempat yang akan menjadi lebih kaya daripada semuanya. Pada kemuncak kekuasaan dan kekayaannya, dia akan mencabar kerajaan Yunani.

3. Kemudian seorang raja yang perkasa akan muncul. Dia akan memerintah sebuah kerajaan yang besar dan berbuat sesuka hatinya.

4. Tetapi pada kemuncak kekuasaannya, kerajaannya akan pecah dan terbahagi empat. Raja-raja yang bukan keturunannya akan menggantikan dia sebagai raja, tetapi mereka tidak sekuat dia.

5. Raja Mesir akan menjadi kuat. Tetapi salah seorang panglimanya akan menjadi lebih kuat, dan akan memerintah kerajaan yang lebih besar.

6. Selepas beberapa tahun, raja Mesir akan mengikat perjanjian untuk bersekutu dengan raja Siria, dan mengahwinkan puterinya dengan raja itu. Tetapi perjanjian untuk bersekutu itu tidak kekal. Puteri itu, suaminya, anaknya, dan hamba-hamba yang mengikutnya akan dibunuh semuanya.

7. Tidak berapa lama kemudian, salah seorang keluarganya akan menjadi raja. Dia akan menyerang tentera raja Siria, masuk ke dalam kubunya dan mengalahkan mereka.

8. Pada waktu dia pulang ke Mesir, dia akan membawa patung-patung dewa mereka, serta alat-alat emas dan perak yang ditahbiskan untuk dewa-dewa itu. Selama beberapa tahun dia tidak akan memerangi Siria.

9. Kemudian raja Siria akan menyerang negeri Mesir, tetapi raja itu akan dipukul mundur.

10. Putera-putera raja Siria akan bersiap untuk berperang dan membentuk pasukan tentera yang besar. Salah seorang daripada mereka akan menyerbu seperti banjir dan menyerang pertahanan musuh.

11. Raja Mesir akan menjadi sangat murka, lalu berperang dengan raja Siria dan mengalahkan pasukan tenteranya yang besar itu.

12. Raja Mesir akan berasa bangga kerana kemenangannya, dan kerana banyak askar yang telah dibunuhnya, tetapi dia tidak akan terus menang.

13. Raja Siria akan pulang dan membentuk pasukan tentera yang lebih besar daripada yang pertama. Apabila masanya tiba, dia akan kembali dengan pasukan yang besar dan yang bersenjata lengkap.

14. Kemudian banyak orang akan memberontak terhadap raja Mesir. Bahkan beberapa orang yang ganas daripada bangsamu pun akan memberontak, hai Daniel, kerana penglihatan yang dilihat mereka, tetapi mereka akan dikalahkan.

Daniel 11