Daniel 11:19-31 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Raja Siria akan pulang ke kubu-kubu negerinya sendiri tetapi dia akan dikalahkan, dan demikianlah kesudahannya.

20. Dia akan digantikan oleh seorang raja lain. Raja itu akan mengutus seorang pegawai untuk memaksa rakyat membayar cukai dengan tujuan menambah kekayaan kerajaannya. Dalam masa singkat raja itu akan dibunuh, tetapi bukan secara terang-terang dan bukan dalam peperangan.”

21. Malaikat itu melanjutkan penerangannya, “Raja Siria yang berikut adalah orang yang jahat. Dia tidak berhak menjadi raja, tetapi dia akan datang dengan tiba-tiba dan merampas kuasa dengan tipu daya.

22. Tentera yang melawannya, bahkan Imam Agung pun akan dihapuskan dan dibinasakan.

23. Dengan menandatangani banyak perjanjian, dia akan menipu bangsa-bangsa dan menjadi semakin kuat, walaupun dia hanya memerintah sebuah kerajaan yang kecil.

24. Dia akan menyerang sebuah wilayah yang kaya dan subur tanpa memberikan amaran dan melakukan perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan oleh nenek moyangnya. Kemudian kepada pengikut-pengikutnya, dia akan membahagi-bahagikan barang rampasan dan kekayaan yang diperolehnya dalam peperangan. Dia akan membuat rancangan untuk menyerang kota-kota yang berkubu, tetapi waktunya segera akan habis.

25. Dengan berani dia akan membentuk pasukan tentera yang besar untuk menyerang raja Mesir, yang telah bersedia melawan dengan angkatan perangnya yang besar dan kuat. Tetapi raja Mesir akan tertipu dan tidak berjaya.

26. Para penasihat raja Mesir yang paling rapat dengannya akan menjatuhkan dia. Banyak askarnya akan terbunuh dan tenteranya dihapuskan.

27. Kemudian dua orang raja itu akan duduk dan makan bersama-sama pada satu meja, tetapi niat mereka jahat. Mereka akan menipu satu sama lain, tetapi mereka tidak akan berjaya kerana masa mereka belum sampai.

28. Raja Siria akan pulang dengan segala barang jarahannya. Dia bertekad untuk memusnahkan agama umat Allah. Dia akan berbuat sesuka hatinya, lalu pulang ke negerinya.

29. Tidak lama kemudian, raja Siria akan menyerang Mesir lagi, tetapi kali ini akibatnya lain daripada kali yang pertama.

30. Orang Roma akan datang dengan kapal-kapal laut dan memerangi raja Siria, dan raja akan menjadi takut.Kemudian raja Siria akan pulang dengan murka sekali, lalu berusaha menghancurkan agama umat Allah. Raja Siria akan mengikut nasihat orang yang telah meninggalkan agama itu.

31. Beberapa orang askar raja akan menajiskan Rumah TUHAN. Mereka akan menghentikan korban harian, dan mendirikan ‘Bencana Yang Dahsyat’ itu.

Daniel 11