Daniel 10:9-20-21 Alkitab Berita Baik (BM)

10. Kemudian ada tangan yang memegang aku dan menolong aku bangun sambil bertumpu pada lutut dan tangan.

11. Malaikat itu berkata kepadaku, “Hai Daniel, Allah mengasihi engkau. Bangunlah dan dengarlah baik-baik perkataanku ini. Aku telah diutus kepadamu.” Setelah dia berkata demikian, aku bangun berdiri, dan masih gementar.

12. Katanya lagi, “Hai Daniel, janganlah takut. Allah telah mendengar doamu sejak hari pertama engkau bertekad merendahkan diri untuk mendapatkan pengertian. Aku datang sebagai jawapan doamu.

13. Malaikat pelindung kerajaan Persia menentang aku selama dua puluh satu hari. Kemudian Mikhael, salah satu pemimpin malaikat, datang menolong aku, kerana aku ditinggalkan sendirian di Persia.

14. Sekarang aku datang untuk membolehkan engkau memahami hal yang akan berlaku kepada bangsamu. Penglihatan itu tentang masa depan.”

15. Ketika dia mengatakan hal itu, aku menundukkan muka. Aku terpegun.

16. Kemudian malaikat yang rupanya seperti manusia itu, menghulurkan tangannya dan menyentuh bibirku. Aku berkata kepadanya, “Tuan, penglihatan ini membuat saya sangat lemah, sehingga saya tidak berhenti-henti gementar.

17. Saya seperti seorang hamba yang menghadap tuannya. Bagaimanakah saya dapat bercakap kepada tuan? Saya tidak berdaya lagi dan nafas saya sesak.”

18. Sekali lagi dia menyentuh aku dan aku merasa lebih kuat.

19. Katanya, “Allah mengasihi engkau. Oleh itu jangan takut dan jangan cemas tentang apa-apa.”Setelah dia berkata demikian, aku bertambah kuat. Lalu aku berkata, “Tuan, sila bercakap. Tuan telah menguatkan saya.”

Daniel 10