1. Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Kores sebagai raja Persia, suatu perkhabaran telah dinyatakan kepada Daniel yang juga dipanggil Beltsazar. Perkhabaran itu benar tetapi sangat susah difahami. Perkhabaran itu diterangkan kepada Daniel dalam satu penglihatan.
2. Ketika itu aku sedang berkabung selama tiga minggu.
3. Selama tempoh itu, aku tidak makan makanan lazat ataupun daging; aku tidak minum wain ataupun menyikat rambutku.
4. Pada hari kedua puluh empat bulan pertama tahun itu, aku berdiri di tebing Sungai Tigris yang besar itu.
5. Aku menengadah lalu nampak seorang yang memakai pakaian linen dan ikat pinggang yang dibuat daripada emas tulen.
6. Badannya bersinar-sinar seperti batu permata; mukanya seterang kilat, dan matanya menyala-nyala seperti api. Tangan dan kakinya berkilau seperti gangsa yang baru digilap, dan suaranya seperti riuh orang ramai.
7. Aku seorang sahaja yang nampak penglihatan itu. Orang yang bersama-samaku tidak nampak apa-apa pun, tetapi mereka ketakutan. Mereka lari dan menyembunyikan diri.
8. Aku tertinggal seorang diri, dan memperhatikan penglihatan yang menakjubkan itu. Aku tidak berdaya lagi, dan mukaku menjadi pucat pasi.
9. Apabila aku mendengar suaranya, aku jatuh tertiarap di tanah dan tidak sedar.
10. Kemudian ada tangan yang memegang aku dan menolong aku bangun sambil bertumpu pada lutut dan tangan.
11. Malaikat itu berkata kepadaku, “Hai Daniel, Allah mengasihi engkau. Bangunlah dan dengarlah baik-baik perkataanku ini. Aku telah diutus kepadamu.” Setelah dia berkata demikian, aku bangun berdiri, dan masih gementar.
12. Katanya lagi, “Hai Daniel, janganlah takut. Allah telah mendengar doamu sejak hari pertama engkau bertekad merendahkan diri untuk mendapatkan pengertian. Aku datang sebagai jawapan doamu.
13. Malaikat pelindung kerajaan Persia menentang aku selama dua puluh satu hari. Kemudian Mikhael, salah satu pemimpin malaikat, datang menolong aku, kerana aku ditinggalkan sendirian di Persia.