Bilangan 8:4-17 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Kaki pelita itu dibuat daripada emas tempaan, dari alasnya sampai ke bunga-bunga hiasan yang di atas, menurut contoh yang ditunjukkan TUHAN kepada Musa.

5. TUHAN berfirman kepada Musa,

6. “Pisahkanlah orang Lewi daripada umat Israel yang lain dan lakukanlah upacara penyucian untuk mereka

7. dengan cara berikut: percikkanlah mereka dengan air untuk menyucikan mereka, lalu suruhlah mereka mencukur seluruh badan dan membasuh pakaian mereka. Dengan demikian mereka menjadi suci.

8. Kemudian orang Lewi harus mengambil seekor lembu jantan muda dan korban yang ditetapkan, iaitu korban untuk mengucap syukur, berupa tepung yang dicampuri minyak zaitun. Engkau harus mengambil seekor lembu jantan lagi sebagai korban untuk mengampunkan dosa.

9. Kemudian kumpulkan segenap umat Israel dan suruh orang Lewi berdiri di hadapan Khemah-Ku.

10. Orang Israel harus meletakkan tangan di atas kepala orang Lewi,

11. lalu Harun harus mentahbiskan orang Lewi sebagai pemberian khas daripada umat Israel untuk Aku, supaya orang Lewi dapat mengabdi kepada-Ku.

12. Selepas itu orang Lewi harus meletakkan tangan di atas kepala kedua-dua ekor lembu jantan itu; seekor dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan yang seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan upacara itu, orang Lewi disucikan.

13. Tahbiskanlah orang Lewi sebagai pemberian khas untuk Aku dan suruhlah Harun dan anak-anak lelakinya menjadi pemimpin mereka.

14. Dengan cara itu, orang Lewi dipisahkan daripada orang Israel lain supaya mereka menjadi milik-Ku.

15. Setelah engkau menyucikan dan mentahbiskan orang Lewi, mereka akan layak bertugas di Khemah-Ku.

16. Aku sudah menjadikan mereka pengganti semua anak lelaki sulung Israel, dan mereka menjadi milik-Ku sahaja.

17. Ketika Aku membunuh semua anak lelaki sulung orang Mesir, Aku mentahbiskan semua anak lelaki sulung daripada setiap keluarga Israel menjadi milik-Ku, dan juga setiap anak sulung jantan ternakan.

Bilangan 8