1. Pada hari Musa selesai memasangkan Khemah TUHAN, dia mentahbiskan Khemah itu bagi TUHAN, bersama-sama semua peralatannya dengan menyapu semua itu dengan minyak upacara. Begitu juga yang dibuatnya pada mazbah serta peralatannya.
2. Kemudian para pemimpin puak yang menjadi pemimpin dalam suku-suku Israel, iaitu orang yang bertanggungjawab atas pembancian itu,
3. membawa persembahan mereka kepada TUHAN: enam buah kereta lembu dan dua belas ekor lembu, sebuah kereta lembu disumbangkan oleh dua orang pemimpin, dan seekor lembu disumbangkan oleh setiap pemimpin. Setelah mereka mempersembahkan semua itu,
4. TUHAN berfirman kepada Musa,
5. “Terimalah semua persembahan itu untuk digunakan dalam pekerjaan di Khemah-Ku. Berikanlah semuanya kepada orang Lewi, menurut tugas yang dilakukan mereka.”
6. Oleh itu Musa memberikan semua kereta lembu dan lembu itu kepada orang Lewi.
7. Dia memberikan dua buah kereta lembu dan empat ekor lembu kepada puak Gerson,
8. dan empat buah kereta lembu dan lapan ekor lembu kepada puak Merari. Semua pekerjaan mereka harus dilakukan di bawah pengawasan Itamar anak Harun.
9. Tetapi Musa tidak memberikan kereta lembu atau lembu kepada puak Kehat, kerana benda-benda suci di bawah jagaan mereka itu harus dipikul oleh mereka.
10. Para pemimpin juga membawa pemberian untuk merayakan upacara pentahbisan mazbah. Apabila mereka sudah siap untuk mempersembahkan pemberian di atas mazbah,
11. TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahulah mereka bahawa tiap-tiap hari, selama dua belas hari, seorang pemimpin harus mempersembahkan pemberiannya untuk upacara pentahbisan mazbah.”