Bilangan 31:19-30 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Semua orang di kalangan kamu yang sudah membunuh orang, ataupun yang sudah menyentuh mayat mesti tinggal di luar perkhemahan selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, kamu mesti melakukan upacara penyucian diri bersama-sama semua perempuan yang sudah kamu tawan itu.

20. Sucikanlah juga semua pakaian dan apa sahaja yang dibuat daripada kulit, bulu kambing, ataupun kayu.”

21. Imam Eleazar berkata kepada mereka yang baru pulang dari pertempuran, “Inilah peraturan-peraturan yang diberikan TUHAN kepada Musa.

22-23. Segala sesuatu yang tahan api, seperti emas, perak, gangsa, besi, timah putih, atau timah hitam, mesti disucikan dengan melalukannya dalam api. Semua benda lain yang tidak tahan api harus disucikan dengan air upacara penyucian.

24. Pada hari ketujuh, kamu harus membasuh pakaian kamu. Barulah kamu tidak najis, dan kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.”

25. TUHAN berfirman kepada Musa,

26. “Engkau, Imam Eleazar, dan para pemimpin Israel yang lain, mesti menghitung semua barang jarahan, termasuk juga orang tawanan dan ternakan.

27. Bahagikanlah barang jarahan itu menjadi dua bahagian yang sama banyaknya. Sebahagian untuk askar-askar yang berperang dan sebahagian lagi untuk orang Israel yang lain.

28. Daripada bahagian yang diberikan kepada askar, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 500 orang tawanan, dan berilah mereka kepada Aku, TUHAN, sebagai sumbangan khas. Buatlah demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing.

29. Berikanlah semuanya kepada Imam Eleazar sebagai sumbangan khas untuk Aku, TUHAN.

30. Daripada bahagian yang diberikan kepada umat Israel lain, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 50 orang tawanan. Demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing. Berikanlah semuanya kepada orang Lewi yang mengurus Khemah-Ku.”

Bilangan 31