Bilangan 31:11-28 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Kemudian orang Israel mengambil segala barang rampasan itu, termasuk orang tawanan dan ternakan.

12. Mereka membawa semuanya kepada Musa, Eleazar, dan umat Israel yang sedang berkhemah di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho.

13. Kemudian Musa, Imam Eleazar, dan semua pemimpin umat Israel pergi ke luar perkhemahan untuk menyambut tentera Israel.

14. Musa marah terhadap para ketua askar dan komandan pasukan yang baru kembali dari pertempuran.

15. Dia bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak membunuh semua perempuan ini?

16. Ingatlah bahawa kaum perempuanlah yang mengikut nasihat Bileam, sehingga menyebabkan orang Israel tidak taat kepada TUHAN di Peor. Hal itulah yang mendatangkan wabak kepada umat TUHAN.

17. Sekarang bunuhlah semua kanak-kanak lelaki dan semua perempuan yang bukan dara lagi,

18. tetapi ambillah semua gadis dan perempuan yang masih dara bagi diri kamu sendiri.

19. Semua orang di kalangan kamu yang sudah membunuh orang, ataupun yang sudah menyentuh mayat mesti tinggal di luar perkhemahan selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, kamu mesti melakukan upacara penyucian diri bersama-sama semua perempuan yang sudah kamu tawan itu.

20. Sucikanlah juga semua pakaian dan apa sahaja yang dibuat daripada kulit, bulu kambing, ataupun kayu.”

21. Imam Eleazar berkata kepada mereka yang baru pulang dari pertempuran, “Inilah peraturan-peraturan yang diberikan TUHAN kepada Musa.

22-23. Segala sesuatu yang tahan api, seperti emas, perak, gangsa, besi, timah putih, atau timah hitam, mesti disucikan dengan melalukannya dalam api. Semua benda lain yang tidak tahan api harus disucikan dengan air upacara penyucian.

24. Pada hari ketujuh, kamu harus membasuh pakaian kamu. Barulah kamu tidak najis, dan kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.”

25. TUHAN berfirman kepada Musa,

26. “Engkau, Imam Eleazar, dan para pemimpin Israel yang lain, mesti menghitung semua barang jarahan, termasuk juga orang tawanan dan ternakan.

27. Bahagikanlah barang jarahan itu menjadi dua bahagian yang sama banyaknya. Sebahagian untuk askar-askar yang berperang dan sebahagian lagi untuk orang Israel yang lain.

28. Daripada bahagian yang diberikan kepada askar, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 500 orang tawanan, dan berilah mereka kepada Aku, TUHAN, sebagai sumbangan khas. Buatlah demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing.

Bilangan 31