10. Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara lelaki bapanya.
11. Jika dia tidak mempunyai saudara atau bapa saudara, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara mara yang terdekat kepadanya.” Umat Israel harus patuh kepada hukum itu, menurut perintah TUHAN melalui Musa.
12. TUHAN berfirman kepada Musa, “Naiklah ke Pergunungan Abarim dan pandanglah tanah yang akan Aku berikan kepada umat Israel.
13. Selepas memandang tanah itu, engkau akan meninggal sebagaimana Harun abangmu juga sudah meninggal,
14. kerana kamu berdua telah melawan perintah-Ku di padang gurun Zin. Apabila segenap umat Israel bersungut-sungut terhadap-Ku di Meriba, kamu tidak menyatakan kuasa-Ku yang suci di hadapan mereka.” (Peristiwa itu terjadi di mata air Meriba di Kades, di padang gurun Zin.)
15. Kemudian Musa berdoa,
16. “Ya TUHAN Allah, yang memberikan kehidupan kepada semua yang hidup, aku mohon, lantiklah seorang yang dapat memimpin umat ini,
17. seorang yang dapat mengetuai mereka ketika berperang. Jangan biarkan umat-Mu menjadi seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala.”
18. TUHAN berfirman kepada Musa, “Panggillah Yosua anak Nun. Dia seorang yang berkebolehan. Letakkan tanganmu di atas kepalanya.
19. Suruhlah dia berdiri di hadapan Imam Eleazar dan segenap umat. Di hadapan mereka semua engkau harus mengisytiharkan Yosua sebagai penggantimu.
20. Berilah dia sebahagian daripada kekuasaanmu, supaya segenap umat Israel akan taat kepadanya.
21. Yosua harus minta petunjuk daripada Imam Eleazar, dan Eleazar mesti menanyakan kehendak-Ku dengan menggunakan Urim dan Tumim. Dengan cara ini Eleazar akan memberikan petunjuk kepada Yosua dan segenap umat Israel dalam segala perkara yang dihadapi mereka.”