5. Musa berkata kepada para hakim umat itu, “Kamu masing-masing mesti membunuh tiap-tiap orang daripada suku kamu yang sudah menyembah Baal di Peor.”
6. Ketika Musa dan segenap umat sedang meratap di pintu Khemah TUHAN, mereka melihat seorang Israel membawa seorang perempuan Midian masuk ke dalam khemahnya.
7. Apabila Pinehas anak Eleazar, iaitu cucu Imam Harun, nampak hal itu, dia bangun dan meninggalkan perhimpunan. Dia mengambil sebatang tombak,
8. lalu menyusul lelaki dan perempuan itu ke dalam khemah; dia menikam kedua-duanya dengan tombak. Dengan demikian wabak yang sedang membinasakan orang Israel berhenti.
9. Namun orang yang mati sudah berjumlah 24,000 orang.
10. TUHAN berfirman kepada Musa,
11. “Pinehas anak Eleazar, cucu Imam Harun, sudah meredakan kemurkaan-Ku terhadap Israel. Dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain kecuali Aku, sehingga kemurkaan-Ku reda dan Aku tidak membinasakan umat itu.
12. Maka beritahulah Pinehas bahawa Aku mengadakan perjanjian dengan dia yang akan berlaku selama-lamanya.
13. Oleh sebab dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain, dan dia juga sudah mendatangkan pengampunan dosa bagi umat itu, dia dan keturunannya akan menjadi imam selama-lamanya.”