27. Kali ini, ketika keldai itu nampak malaikat TUHAN, keldai itu merebahkan badan. Bileam naik marah lalu memukul keldai itu dengan tongkatnya.
28. Kemudian TUHAN membolehkan keldai itu bercakap, lalu keldai itu berkata kepada Bileam, “Apakah kesalahan saya? Mengapakah tuan memukul saya sampai tiga kali?”
29. Bileam menjawab, “Oleh sebab engkau mempermainkan aku! Jika aku mempunyai sebilah pedang, sudah pasti aku membunuh engkau.”
30. Keldai itu menjawab, “Bukankah tuan menunggangi saya seumur hidup tuan? Pernahkah saya memperlakukan tuan begini?”“Tidak,” jawab Bileam.
31. Kemudian TUHAN membolehkan Bileam melihat malaikat TUHAN yang berdiri di situ dengan pedang terhunus, lalu Bileam sujud menyembah.
32. Malaikat itu berkata, “Mengapakah engkau memukul keldaimu sampai tiga kali? Akulah yang menghalangi perjalananmu, kerana engkau tidak seharusnya pergi.
33. Tetapi keldaimu nampak aku dan keldai itu minggir tiga kali. Jika tidak, aku pasti membunuh engkau dan membiarkan keldaimu hidup.”
34. Bileam menjawab, “ Saya sudah berdosa. Saya tidak tahu bahawa tuan berdiri di hadapan untuk menghalangi saya. Jika pada pendapat tuan, saya tidak seharusnya pergi, baiklah saya pulang.”
35. Tetapi malaikat TUHAN berkata, “Pergilah bersama-sama semua orang ini, tetapi hanya katakan apa yang aku suruh engkau katakan.” Oleh itu Bileam meneruskan perjalanannya bersama-sama semua orang itu.
36. Apabila Raja Balak mendengar bahawa Bileam datang, baginda pergi berjumpa dengan dia di Ar, kota di pinggir Sungai Arnon di sempadan tanah Moab.