Bilangan 21:16-27 Alkitab Berita Baik (BM)

16. Dari sana mereka pergi ke tempat yang bernama Beer, yang bermakna perigi-perigi. Di situ TUHAN berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah umat itu; Aku akan memberi mereka air.”

17. Pada masa itu umat Israel menyanyikan lagu ini:“Hai perigi-perigi, pancarkanlah airmu,kami akan menyambutnya dengan lagu.

18. Perigi yang digali oleh para penguasadan oleh para pemimpin bangsa;digali dengan tongkat diraja,dan dengan tongkat tanda kuasa mereka.”Dari kawasan gurun mereka pergi ke Matana,

19. dan dari sana mereka pergi ke Nahaliel, dan dari Nahaliel ke Bamot,

20. dan dari Bamot ke lembah di tanah Moab, di bawah puncak Gunung Pisga yang menghala ke kawasan gurun.

21. Kemudian umat Israel mengutus utusan-utusan kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori. Para utusan itu berkata,

22. “Benarkanlah hamba semua melalui negeri tuanku. Hamba sekalian dan ternakan hamba semua tidak akan menyimpang ke ladang atau ke kebun anggur tuanku. Hamba sekalian tidak akan minum air dari perigi tuanku. Hamba semua akan mengikut jalan raya sehingga hamba sekalian keluar dari tanah tuanku.”

23. Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan umat Israel melintasi tanah baginda. Raja Sihon mengumpulkan tenteranya lalu pergi ke Yahas untuk menyerang umat Israel di kawasan gurun itu.

24. Tetapi dalam pertempuran itu umat Israel membunuh banyak askar Amori. Oleh itu umat Israel menduduki negeri mereka, dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok di utara, iaitu sempadan kawasan orang Amon, kerana pertahanan di sempadan Amon sangat kuat.

25. Demikianlah umat Israel merebut semua kota orang Amori, termasuk Hesybon dan semua pekan di sekelilingnya, lalu mereka menetap di situ.

26. Hesybon ialah ibu kota Raja Sihon, penguasa negeri Amori. Dia pernah mengalahkan raja Moab dan menduduki seluruh tanahnya sampai ke Sungai Arnon.

27. Itulah sebabnya para pujangga bersyair begini,“Datanglah ke Hesybon, ke kota Raja Sihon.Kami ingin melihat kota ini dibangun dan dipulihkan.

Bilangan 21