Bilangan 21:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Arad ialah sebuah kota di bahagian selatan tanah Kanaan. Ketika raja kota itu mendengar bahawa umat Israel datang melalui jalan Atarim, raja itu pergi menyerang mereka dan menawan beberapa orang.

2. Kemudian umat Israel bernazar kepada TUHAN. Mereka berkata, “Ya TUHAN, jika Engkau membenarkan kami mengalahkan penduduk negeri ini, kami akan memusnahkan kota-kota mereka serta penduduk kota, sebagai tanda bahawa semuanya milik-Mu.”

3. TUHAN mengabulkan permintaan umat Israel, dan menolong mereka mengalahkan orang Kanaan. Umat Israel membinasakan semua orang Kanaan dan kota-kota mereka. Umat Israel menamakan tempat itu Horma.

4. Kemudian umat Israel meninggalkan Gunung Hor dan mengikut jalan yang menuju ke Teluk Akaba untuk mengelilingi tanah Edom. Tetapi di tengah jalan mereka hilang sabar,

5. lalu bersungut-sungut terhadap Allah dan Musa. Mereka berkata, “Mengapakah kamu membawa kami keluar dari Mesir untuk mati di padang gurun ini? Di sini tidak ada makanan ataupun air. Kami muak dengan makanan yang tawar ini!”

6. Kemudian TUHAN mendatangkan ular-ular berbisa di tengah-tengah mereka dan banyak orang Israel mati dipatuk ular.

7. Umat Israel datang kepada Musa dan berkata, “Kami berdosa ketika kami bersungut-sungut terhadap TUHAN dan terhadap kamu. Berdoalah kepada TUHAN supaya ular-ular ini dijauhkan daripada kami.” Maka Musa berdoa kepada TUHAN untuk umat itu.

8. Setelah itu TUHAN menyuruh Musa membuat seekor ular daripada logam dan memasangnya pada sebatang tiang, supaya sesiapa yang dipatuk ular boleh memandang ular daripada logam itu, lalu sembuh.

9. Kemudian Musa membuat seekor ular daripada gangsa lalu memasangnya pada sebatang tiang. Setiap orang yang dipatuk ular akan sembuh jika memandang ular daripada gangsa itu.

10. Umat Israel meneruskan perjalanan lalu berkhemah di Obot.

11. Dari Obot mereka berangkat lagi, lalu berkhemah di reruntuhan Abarim di padang gurun, di bahagian timur tanah Moab.

12. Kemudian mereka berkhemah di Lembah Zered.

13. Setelah itu mereka berangkat lagi dan berkhemah di utara Sungai Arnon, di padang gurun yang terbentang sampai ke negeri orang Amori. Sungai Arnon ialah sempadan Moab dan tanah orang Amori.

Bilangan 21