3. sambil bersungut-sungut, “Lebih baik kami mati bersama dengan saudara-saudara kami di hadapan Khemah TUHAN.
4. Mengapa kamu membawa kami ke padang gurun ini? Adakah kamu mahu kami mati di sini bersama dengan ternakan kami?
5. Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir, lalu pergi ke tempat celaka yang tidak dapat ditanami apa-apa? Di sini tidak ada gandum, buah ara, buah anggur, ataupun buah delima. Bahkan air minum pun tidak ada!”
6. Musa dan Harun menjauhi umat itu, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN. Mereka bersujud, lalu cahaya hadirat TUHAN menyinari mereka.
7. TUHAN berfirman kepada Musa,
8. “Ambillah tongkat di depan Tabut Perjanjian itu, lalu engkau bersama-sama Harun harus mengumpulkan semua orang Israel. Di depan mereka semua, berkatalah kepada bukit batu di situ, lalu batu itu akan memancarkan air. Dengan cara itu engkau akan mengeluarkan air dari batu itu untuk orang Israel, supaya mereka dan ternakan mereka dapat minum.”
9. Musa mengambil tongkat itu sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.
10. Musa dan Harun mengumpulkan semua orang Israel di depan bukit batu itu. Kemudian Musa berkata, “Dengarlah, hai pemberontak! Haruskah kami mengeluarkan air dari bukit batu ini untuk kamu?”
11. Kemudian Musa mengangkat tongkat itu dan memukulkannya dua kali pada bukit batu itu. Air memancar keluar sehingga segenap umat itu dan ternakan mereka dapat minum.
12. Tetapi TUHAN menegur Musa dan Harun, lalu berfirman, “Kerana kamu kurang percaya kepada-Ku untuk menyatakan kuasa-Ku yang suci di hadapan umat Israel, kamu tidak akan memimpin umat itu ke tanah yang Aku janjikan kepada mereka.”
13. Peristiwa itu terjadi di Meriba. Di tempat itu umat Israel bersungut-sungut terhadap TUHAN, dan di situ juga TUHAN menunjukkan kuasa-Nya yang suci kepada umat itu.
14. Kemudian Musa mengutus utusan-utusan dari Kades untuk menghadap raja Edom. Para utusan itu berkata, “Hamba semua daripada suku-suku Israel yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan tuanku. Tuanku tahu akan kesusahan yang menimpa hamba sekalian.
15. Nenek moyang hamba pergi ke negeri Mesir dan menetap di sana bertahun-tahun lamanya. Nenek moyang hamba dan hamba sekalian dianiaya oleh bangsa Mesir,
16. lalu hamba semua berseru meminta tolong kepada TUHAN. TUHAN mendengar seruan hamba sekalian lalu mengutus satu malaikat untuk memimpin hamba semua keluar dari Mesir. Sekarang hamba sekalian berada di Kades, sebuah kota di sempadan tanah tuanku.