1. Pada bulan yang pertama, segenap umat Israel tiba di padang gurun Zin, lalu mereka berkhemah di Kades. Di situlah Miryam meninggal dan dikebumikan.
2. Pada suatu masa di tempat umat Israel berkhemah, tidak terdapat air. Oleh itu mereka berkumpul di sekeliling Musa dan Harun,
3. sambil bersungut-sungut, “Lebih baik kami mati bersama dengan saudara-saudara kami di hadapan Khemah TUHAN.
4. Mengapa kamu membawa kami ke padang gurun ini? Adakah kamu mahu kami mati di sini bersama dengan ternakan kami?
5. Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir, lalu pergi ke tempat celaka yang tidak dapat ditanami apa-apa? Di sini tidak ada gandum, buah ara, buah anggur, ataupun buah delima. Bahkan air minum pun tidak ada!”
6. Musa dan Harun menjauhi umat itu, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN. Mereka bersujud, lalu cahaya hadirat TUHAN menyinari mereka.