Bilangan 18:8-17 Alkitab Berita Baik (BM)

8. TUHAN berfirman kepada Harun, “Ingatlah bahawa segala sumbangan khas yang tidak dibakar sebagai korban, yang dipersembahkan kepada-Ku, akan Kuberikan kepadamu. Aku memberikan sumbangan itu kepadamu dan keturunanmu, sebagai hak kamu yang ditetapkan selama-lamanya.

9. Daripada persembahan-persembahan yang paling suci, yang tidak dibakar di atas mazbah, yang berikut ini adalah untukmu: korban untuk mengucap syukur, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi. Semua korban yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan suci menjadi milikmu dan anak-anak lelakimu.

10. Kamu harus makan makanan itu di tempat yang suci, dan hanya lelaki yang boleh memakannya; makanan itu suci.

11. Selain itu, segala sumbangan khas lain yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku menjadi milikmu. Aku memberikan semuanya kepadamu, anak-anakmu lelaki dan perempuan. Peraturan ini berlaku sepanjang masa. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya.

12. Aku memberi engkau segala hasil pertama yang terbaik, yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku tiap-tiap tahun: minyak zaitun, wain, dan gandum.

13. Semua itu milikmu. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya.

14. Segala sesuatu di tanah Israel yang sudah dikhaskan untuk Aku, menjadi milikmu.

15. Tiap-tiap anak sulung manusia ataupun anak sulung binatang yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku, menjadi milikmu. Tetapi tiap-tiap anak sulung manusia dan juga anak sulung binatang haram harus ditebus.

16. Kanak-kanak harus ditebus ketika berumur satu bulan. Harga yang ditentukan untuk menebusnya adalah lima keping perak, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku.

17. Tetapi anak sulung lembu, domba, dan kambing tidak boleh ditebus; binatang itu untuk Aku sepenuhnya dan mesti dipersembahkan sebagai korban. Siramkanlah darah binatang itu pada mazbah dan bakarlah lemaknya sebagai persembahan makanan; baunya menyenangkan hati-Ku.

Bilangan 18