Bilangan 18:6-18 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Sesungguhnya, Akulah yang sudah memilih sanak saudaramu orang Lewi di kalangan umat Israel, supaya mereka menjadi pemberian bagi kamu. Mereka sudah ditahbiskan untuk Aku supaya mereka dapat melakukan tugas di Khemah-Ku.

7. Tetapi hanya engkau dan anak-anak lelakimu yang boleh melakukan segala kewajipan imam yang berkaitan dengan mazbah dan apa-apa yang di dalam Bilik Maha Suci. Semua hal itu tanggungjawabmu, kerana Aku sudah mengurniakan tugas imam kepadamu. Sesiapa sahaja yang tidak berhak menjalankan tugas itu akan dihukum mati apabila menghampiri benda-benda suci.”

8. TUHAN berfirman kepada Harun, “Ingatlah bahawa segala sumbangan khas yang tidak dibakar sebagai korban, yang dipersembahkan kepada-Ku, akan Kuberikan kepadamu. Aku memberikan sumbangan itu kepadamu dan keturunanmu, sebagai hak kamu yang ditetapkan selama-lamanya.

9. Daripada persembahan-persembahan yang paling suci, yang tidak dibakar di atas mazbah, yang berikut ini adalah untukmu: korban untuk mengucap syukur, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi. Semua korban yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan suci menjadi milikmu dan anak-anak lelakimu.

10. Kamu harus makan makanan itu di tempat yang suci, dan hanya lelaki yang boleh memakannya; makanan itu suci.

11. Selain itu, segala sumbangan khas lain yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku menjadi milikmu. Aku memberikan semuanya kepadamu, anak-anakmu lelaki dan perempuan. Peraturan ini berlaku sepanjang masa. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya.

12. Aku memberi engkau segala hasil pertama yang terbaik, yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku tiap-tiap tahun: minyak zaitun, wain, dan gandum.

13. Semua itu milikmu. Tiap-tiap anggota keluargamu yang tidak najis boleh memakannya.

14. Segala sesuatu di tanah Israel yang sudah dikhaskan untuk Aku, menjadi milikmu.

15. Tiap-tiap anak sulung manusia ataupun anak sulung binatang yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku, menjadi milikmu. Tetapi tiap-tiap anak sulung manusia dan juga anak sulung binatang haram harus ditebus.

16. Kanak-kanak harus ditebus ketika berumur satu bulan. Harga yang ditentukan untuk menebusnya adalah lima keping perak, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku.

17. Tetapi anak sulung lembu, domba, dan kambing tidak boleh ditebus; binatang itu untuk Aku sepenuhnya dan mesti dipersembahkan sebagai korban. Siramkanlah darah binatang itu pada mazbah dan bakarlah lemaknya sebagai persembahan makanan; baunya menyenangkan hati-Ku.

18. Daging korban itu milikmu, sama seperti dada dan paha kanan binatang yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa.

Bilangan 18