21. TUHAN berfirman, “Semua persepuluhan yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku akan Kuberikan kepada orang Lewi. Itulah ganjaran bagi pekerjaan mereka di Khemah-Ku.
22. Orang Israel lain tidak boleh lagi menghampiri Khemah itu. Jika mereka menghampirinya, mereka akan mendatangkan hukuman mati kepada diri mereka sendiri.
23. Mulai sekarang, hanya orang Lewi yang boleh mengurus Khemah-Ku dan bertanggungjawab penuh atas pekerjaan itu. Peraturan ini berlaku juga bagi keturunan kamu sampai selama-lamanya. Orang Lewi tidak akan mendapat warisan tanah di Israel
24. kerana sebagai milik mereka, Aku sudah memberi mereka persepuluhan yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku sebagai sumbangan khas. Itulah sebabnya Aku memberitahu orang Lewi bahawa mereka tidak akan mendapat warisan tanah di Israel.”
25. TUHAN menyuruh Musa
26. menyampaikan perintah ini kepada orang Lewi, “Apabila kamu menerima persembahan persepuluhan daripada umat Israel, yang diberikan TUHAN sebagai milik kamu, kamu harus mempersembahkan sepersepuluh daripadanya kepada TUHAN sebagai sumbangan khas.
27. Sumbangan khas itu dianggap sama dengan persembahan gandum baru dan wain baru yang dipersembahkan oleh petani.
28. Dengan cara ini, kamu juga mempersembahkan sumbangan khas yang menjadi milik TUHAN daripada segala persembahan persepuluhan yang kamu terima daripada umat Israel. Kamu mesti memberikan sumbangan khas bagi TUHAN ini kepada Imam Harun.
29. Berikanlah bahagian yang paling baik daripada segala sesuatu yang kamu terima.
30. Setelah kamu mempersembahkan bahagian yang paling baik, kamu boleh menyimpan sisanya, sama seperti seorang petani yang mengambil apa yang tertinggal setelah dia memberikan persembahannya.
31. Kamu dan keluarga kamu boleh makan yang tertinggal itu di mana-mana sahaja, kerana itu adalah ganjaran bagi pekerjaan kamu di Khemah TUHAN.
32. Kamu tidak bersalah apabila kamu memakannya, asal sahaja kamu sudah mempersembahkan bahagiannya yang paling baik kepada TUHAN. Kamu tidak boleh menajiskan persembahan yang suci daripada umat Israel dengan memakan apa pun daripada persembahan itu sebelum mempersembahkan bahagian yang paling baik kepada TUHAN. Jika kamu melanggar peraturan itu, kamu akan dihukum mati.”