Bilangan 18:17-29 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Tetapi anak sulung lembu, domba, dan kambing tidak boleh ditebus; binatang itu untuk Aku sepenuhnya dan mesti dipersembahkan sebagai korban. Siramkanlah darah binatang itu pada mazbah dan bakarlah lemaknya sebagai persembahan makanan; baunya menyenangkan hati-Ku.

18. Daging korban itu milikmu, sama seperti dada dan paha kanan binatang yang dipersembahkan kepada-Ku sebagai persembahan istimewa.

19. Segala sumbangan khas yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku, akan Kuberikan kepadamu, anak-anakmu lelaki dan perempuan sepanjang masa. Perjanjian ini tidak dapat dibatalkan; Aku sudah membuatnya dengan engkau dan keturunanmu.”

20. TUHAN berfirman kepada Harun, “Engkau tidak akan mendapat sebarang harta sebagai warisan. Tidak ada bahagian tanah di Israel yang akan menjadi milikmu. Aku, TUHAN, adalah warisanmu.”

21. TUHAN berfirman, “Semua persepuluhan yang dipersembahkan umat Israel kepada-Ku akan Kuberikan kepada orang Lewi. Itulah ganjaran bagi pekerjaan mereka di Khemah-Ku.

22. Orang Israel lain tidak boleh lagi menghampiri Khemah itu. Jika mereka menghampirinya, mereka akan mendatangkan hukuman mati kepada diri mereka sendiri.

23. Mulai sekarang, hanya orang Lewi yang boleh mengurus Khemah-Ku dan bertanggungjawab penuh atas pekerjaan itu. Peraturan ini berlaku juga bagi keturunan kamu sampai selama-lamanya. Orang Lewi tidak akan mendapat warisan tanah di Israel

24. kerana sebagai milik mereka, Aku sudah memberi mereka persepuluhan yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada-Ku sebagai sumbangan khas. Itulah sebabnya Aku memberitahu orang Lewi bahawa mereka tidak akan mendapat warisan tanah di Israel.”

25. TUHAN menyuruh Musa

26. menyampaikan perintah ini kepada orang Lewi, “Apabila kamu menerima persembahan persepuluhan daripada umat Israel, yang diberikan TUHAN sebagai milik kamu, kamu harus mempersembahkan sepersepuluh daripadanya kepada TUHAN sebagai sumbangan khas.

27. Sumbangan khas itu dianggap sama dengan persembahan gandum baru dan wain baru yang dipersembahkan oleh petani.

28. Dengan cara ini, kamu juga mempersembahkan sumbangan khas yang menjadi milik TUHAN daripada segala persembahan persepuluhan yang kamu terima daripada umat Israel. Kamu mesti memberikan sumbangan khas bagi TUHAN ini kepada Imam Harun.

29. Berikanlah bahagian yang paling baik daripada segala sesuatu yang kamu terima.

Bilangan 18