1. TUHAN memberi Musa
2. peraturan-peraturan berikut yang harus dipatuhi oleh umat Israel di tanah yang akan diberikan TUHAN kepada mereka.
3. Sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban untuk memenuhi nazar, atau korban sukarela, atau korban pada perayaan-perayaan biasa, kamu boleh mempersembahkan binatang berikut kepada TUHAN: seekor lembu jantan, seekor domba jantan, seekor domba atau seekor kambing. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN.
6. Apabila seekor domba jantan dipersembahkan sebagai korban, maka harus dipersembahkan juga dua kilogram tepung terbaik bercampur satu liter setengah minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur,
7. bersama dengan satu liter setengah wain. Bau asap korban itu menyenangkan hati TUHAN.
8. Apabila seekor lembu jantan dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau sebagai korban untuk memenuhi nazar, atau sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN,
9. harus dipersembahkan juga tiga kilogram tepung bercampur dua liter minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur,
10. bersama dengan dua liter wain. Bau asap dari korban-korban itu menyenangkan hati TUHAN.
11. Itulah yang harus dipersembahkan bersama dengan setiap lembu jantan, domba jantan, domba, atau kambing.
12. Jika yang dipersembahkan itu lebih daripada seekor, maka persembahan tepung terbaik, minyak zaitun, dan wain itu pun harus ditambah menurut kadar yang ditentukan.
13. Hal ini mesti dilakukan oleh setiap orang Israel apabila dia mempersembahkan persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN.
14. Seorang asing yang tinggal bersama-sama kamu, baik untuk sementara atau untuk menetap, orang itu mesti mematuhi peraturan yang sama apabila dia mempersembahkan persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN.
15. Untuk sepanjang masa, peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan bagi orang asing yang tinggal di kalangan kamu. Kamu dan mereka sama sahaja di sisi TUHAN;
16. hukum dan peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan mereka.
17. TUHAN memberi Musa
18. peraturan-peraturan berikut untuk dipatuhi oleh umat Israel di tanah yang akan diberikan TUHAN kepada mereka.
19. Apabila kamu makan makanan yang dihasilkan tanah itu, kamu mesti mengasingkan sebahagian makanan itu sebagai pemberian khas kepada TUHAN.
20. Daripada gandum yang mula-mula dituai, bakarlah roti daripada adunan pertama gandum itu; sebuku roti harus dipersembahkan sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Cara mempersembahkannya sama dengan cara mempersembahkan pemberian khas daripada gandum yang mula-mula kamu irik.