16. Itulah pengintip-pengintip yang diutus oleh Musa untuk menjelajahi tanah itu. Musa menukar nama Hosea anak Nun menjadi Yosua.
17. Ketika Musa menyuruh mereka berangkat, dia berpesan kepada mereka, “Pergilah ke arah utara, ke bahagian selatan tanah Kanaan, kemudian pergilah ke daerah berbukit.
18. Selidikilah keadaan tanah itu, sama ada penduduknya banyak atau sedikit, dan sama ada mereka kuat atau lemah.
19. Selidikilah sama ada tanah itu baik atau tidak, dan sama ada penduduknya tinggal di pekan-pekan yang terbuka atau di kota-kota yang bertembok.
20. Selidikilah sama ada tanahnya subur atau tidak, dan sama ada pokok kayu di situ banyak atau tidak. Kamu harus berani, dan bawalah pulang buah-buahan dari tanah itu.” Pada waktu itu, musim anggur sudah mula.
21. Oleh itu mereka pergi ke arah utara dan menjelajahi tanah itu, bermula dari padang gurun Zin di sebelah selatan sampai ke kota Rehob, berhampiran dengan Genting Hamat di sebelah utara.
22. Mula-mula mereka pergi ke bahagian selatan tanah itu dan tiba di kota Hebron, tempat tinggal puak Ahiman, Sesai, dan Talmai, semuanya keturunan raksasa yang disebut Enak. Kota Hebron dibina tujuh tahun sebelum kota Soan di Mesir.
23. Kemudian para pengintip itu sampai di Lembah Eskol. Di situ mereka memotong seranting buah anggur yang begitu berat, sehingga harus digotong dengan sebatang kayu oleh dua orang. Mereka juga membawa beberapa biji buah delima dan buah ara.
24. Tempat itu dinamakan Lembah Eskol, kerana seranting buah anggur yang dipotong oleh orang Israel di situ.
25. Setelah para pengintip menjelajahi tanah itu selama empat puluh hari, mereka kembali
26. kepada Musa, Harun, dan semua orang Israel di Kades, di padang gurun Paran. Mereka melaporkan apa yang dilihat oleh mereka dan menunjukkan buah-buahan yang dibawa.
27. Mereka berkata kepada Musa, “Kami sudah menjelajahi tanah itu dan melihat bahawa tanahnya kaya dan subur; inilah sedikit buah-buahan dari sana.
28. Tetapi penduduk tanah itu sangat kuat; kota-kota mereka sangat besar dan bertembok. Lagi pula, kami nampak keturunan raksasa di sana.
29. Orang Amalek tinggal di bahagian selatan tanah itu; orang Het, orang Yebusi, dan orang Amori tinggal di kawasan perbukitan; orang Kanaan tinggal di kawasan pantai Laut Tengah dan di sepanjang Sungai Yordan.”