Bilangan 12:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Oleh itu Aku berfirman kepadanya berhadapan muka, secara jelas dan bukan dengan teka-teki; bahkan rupa-Ku pun sudah dilihatnya. Mengapa kamu berani melawan Musa, hamba-Ku?”

9. TUHAN murka kepada Harun dan Miryam; oleh itu, ketika TUHAN pergi

10. dan awan itu meninggalkan Khemah, tiba-tiba kulit Miryam kena penyakit kulit yang mengerikan. Kulitnya menjadi putih seperti salji. Apabila Harun nampak bahawa Miryam telah kena penyakit itu,

11. Harun berkata kepada Musa, “Tolonglah tuan, janganlah biar kami diseksa kerana dosa yang kami lakukan dalam kebodohan kami.

12. Janganlah biarkan dia menjadi seperti bayi yang lahir mati, dengan dagingnya setengah busuk.”

13. Maka Musa berseru kepada TUHAN, “Ya Allah, sembuhkanlah dia!”

14. TUHAN menjawab, “Andaikata bapanya meludahi mukanya, dia mesti menanggung malu selama tujuh hari. Oleh itu keluarkanlah dia dari perkhemahan selama tujuh hari. Selepas itu, dia boleh dibawa masuk semula.”

15. Miryam dikeluarkan dari perkhemahan selama tujuh hari, dan umat Israel tidak memindahkan perkhemahan sehingga Miryam dibawa masuk semula.

16. Kemudian mereka meninggalkan Hazerot, lalu berkhemah di padang gurun Paran.

Bilangan 12