Bilangan 11:17-30 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Aku akan turun dan berfirman kepadamu di tempat itu, dan mereka akan Kuberikan sebahagian daripada kuasa yang sudah Kuberikan kepadamu. Dengan demikian, mereka akan dapat membantu engkau memikul tanggungjawab atas umat ini, dan engkau tidak lagi memikulnya sendirian.

18. Sekarang beritahulah orang Israel, ‘Sucikanlah diri kamu untuk esok, kerana kamu akan makan daging. TUHAN sudah mendengar kamu merungut dan berkata bahawa kamu ingin sekali makan daging, dan bahawa keadaan kamu lebih baik semasa di negeri Mesir. Sekarang TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu mesti makan daging itu.

19. Kamu mesti memakannya bukan sahaja selama satu atau dua hari, atau lima, atau sepuluh, ataupun dua puluh hari,

20. tetapi selama satu bulan, sehingga kamu menjadi sakit dan muntah-muntah kerana daging itu. Hal itu akan terjadi kerana kamu menolak TUHAN yang ada di tengah-tengah kamu. Kamu juga bersungut kepada-Nya dengan berkata bahawa kamu tidak seharusnya meninggalkan Mesir.’ ”

21. Musa berkata kepada TUHAN, “Sekarang aku sedang memimpin 600,000 orang. Bagaimanakah Engkau dapat berfirman bahawa Engkau akan memberi mereka daging yang cukup selama satu bulan?

22. Cukupkah lembu dan domba untuk disembelih bagi mengenyangkan mereka? Cukupkah semua ikan di laut untuk mereka?”

23. TUHAN berfirman, “Adakah kuasa-Ku terbatas? Engkau akan segera melihat sama ada firman-Ku itu berlaku atau tidak!”

24. Oleh itu Musa keluar dan memberitahu umat Israel apa yang difirmankan TUHAN. Musa mengumpulkan tujuh puluh orang pemimpin dan menyuruh mereka berdiri di sekeliling Khemah TUHAN.

25. Kemudian TUHAN turun di dalam awan dan berfirman kepada Musa. TUHAN mengambil sebahagian daripada kuasa yang sudah diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikan kuasa itu kepada tujuh puluh orang pemimpin itu. Ketika Roh TUHAN turun ke atas mereka, mereka mula berseru seperti nabi, tetapi tidak lama.

26. Dua daripada tujuh puluh orang pemimpin itu, iaitu Eldad dan Medad, tinggal di perkhemahan dan tidak pergi ke Khemah TUHAN. Di perkhemahan itu, Roh turun ke atas mereka dan mereka pun mula berseru seperti nabi.

27. Seorang pemuda lari keluar untuk memberitahu Musa tentang hal yang berlaku kepada Eldad dan Medad.

28. Kemudian Yosua anak Nun, yang telah membantu Musa sejak masa mudanya, berkata kepada Musa, “Tuan, suruhlah mereka diam!”

29. Musa menjawab, “Adakah engkau memikirkan hal aku? Aku sangat berharap agar TUHAN memberikan Roh-Nya kepada semua umat-Nya, dan menyebabkan mereka semua berseru seperti nabi!”

30. Selepas itu Musa dan para pemimpin Israel itu balik ke perkhemahan.

Bilangan 11