Bilangan 10:5-23 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Apabila trompet ditiup pendek-pendek, suku-suku yang berkhemah di bahagian timur harus berangkat.

6. Apabila trompet ditiup pendek-pendek pada kali kedua, suku-suku di bahagian selatan harus berangkat. Trompet harus ditiup pendek-pendek sebagai tanda untuk berangkat.

7. Trompet harus ditiup panjang sebagai tanda untuk mengumpulkan umat Israel.

8. Trompet-trompet itu harus ditiup oleh anak-anak lelaki Harun, imam-imam itu.Peraturan berikut harus dipatuhi sepanjang masa.

9. Apabila kamu berperang di tanah kamu untuk mempertahankan diri terhadap musuh yang menyerang kamu, tiuplah trompet-trompet itu untuk memberikan isyarat perang. Aku TUHAN, Allah kamu, akan menolong dan menyelamatkan kamu daripada musuh.

10. Demikian juga pada masa-masa kamu bersukaria; pada perayaan Bulan Baru dan perayaan-perayaan lain, tiuplah trompet-trompet itu ketika kamu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk memohon berkat-Ku, maka Aku akan menolong kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu.”

11. Pada hari kedua puluh bulan kedua, pada tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, awan yang berada di atas Khemah TUHAN itu naik.

12. Lalu umat Israel berurutan berangkat meninggalkan Gurun Sinai. Kemudian awan itu berhenti di padang gurun Paran.

13. Itulah kali pertama mereka berangkat menurut perintah TUHAN melalui Musa.

14. Tiap-tiap kali mereka berangkat, mereka mengikut susunan yang sama. Orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Yehuda berangkat dahulu, kelompok demi kelompok. Nahason anak Aminadab memimpin mereka.

15. Netaneel anak Zuar memimpin suku Isakhar

16. dan Eliab anak Helon memimpin suku Zebulon.

17. Kemudian barulah Khemah TUHAN itu digulung; lalu puak Gerson dan Merari yang membawa Khemah itu berangkat.

18. Selepas itu orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Ruben berangkat, kelompok demi kelompok. Elizur anak Syedeur memimpin mereka.

19. Selumiel anak Zurisyadai memimpin suku Simeon

20. dan Elyasaf anak Rehuel memimpin suku Gad.

21. Lalu puak Kehat yang memikul benda-benda suci berangkat. Apabila mereka sampai di tempat perkhemahan yang baru, Khemah TUHAN sudah dipasang.

22. Kemudian orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Efraim berangkat, kelompok demi kelompok. Elisama anak Amihud memimpin mereka.

23. Gamaliel anak Pedazur memimpin suku Manasye

Bilangan 10