Bilangan 10:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

1. TUHAN berfirman kepada Musa,

2. “Buatlah dua buah trompet daripada perak tempaan supaya digunakan untuk memanggil umat Israel berkumpul dan untuk menyuruh mereka berangkat.

3. Jika kedua-dua buah trompet itu ditiup panjang, semua orang Israel harus berkumpul di sekeliling engkau, di hadapan pintu Khemah-Ku.

4. Tetapi jika hanya satu trompet yang ditiup, hanya pemimpin-pemimpin puak yang berkumpul di sekeliling engkau.

5. Apabila trompet ditiup pendek-pendek, suku-suku yang berkhemah di bahagian timur harus berangkat.

6. Apabila trompet ditiup pendek-pendek pada kali kedua, suku-suku di bahagian selatan harus berangkat. Trompet harus ditiup pendek-pendek sebagai tanda untuk berangkat.

7. Trompet harus ditiup panjang sebagai tanda untuk mengumpulkan umat Israel.

8. Trompet-trompet itu harus ditiup oleh anak-anak lelaki Harun, imam-imam itu.Peraturan berikut harus dipatuhi sepanjang masa.

9. Apabila kamu berperang di tanah kamu untuk mempertahankan diri terhadap musuh yang menyerang kamu, tiuplah trompet-trompet itu untuk memberikan isyarat perang. Aku TUHAN, Allah kamu, akan menolong dan menyelamatkan kamu daripada musuh.

10. Demikian juga pada masa-masa kamu bersukaria; pada perayaan Bulan Baru dan perayaan-perayaan lain, tiuplah trompet-trompet itu ketika kamu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban untuk memohon berkat-Ku, maka Aku akan menolong kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu.”

11. Pada hari kedua puluh bulan kedua, pada tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, awan yang berada di atas Khemah TUHAN itu naik.

12. Lalu umat Israel berurutan berangkat meninggalkan Gurun Sinai. Kemudian awan itu berhenti di padang gurun Paran.

13. Itulah kali pertama mereka berangkat menurut perintah TUHAN melalui Musa.

14. Tiap-tiap kali mereka berangkat, mereka mengikut susunan yang sama. Orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Yehuda berangkat dahulu, kelompok demi kelompok. Nahason anak Aminadab memimpin mereka.

Bilangan 10