Amsal 31:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Inilah nasihat bonda Raja Lemuel dari Masa kepada baginda:

2. “Engkau buah hatiku, jawapan doaku yang telah dikabulkan oleh TUHAN. Apakah yang hendak aku katakan kepadamu?

3. Jangan habiskan tenagamu pada nafsu berahi, dan jangan bazirkan wangmu pada perempuan; mereka sudah membinasakan banyak raja.

4. Dengarlah, hai Lemuel. Raja tidak sepatutnya minum wain, atau ketagihan arak.

5. Apabila raja meminumnya, mereka melupakan hukum dan mengabaikan hak orang tidak berdaya.

6. Arak minuman untuk orang yang hampir mati dan yang sengsara.

7. Biarlah mereka meminumnya untuk melupakan kemiskinan dan kesengsaraan.

8. Belalah orang yang tidak dapat membela diri. Lindungilah hak semua orang yang tidak berdaya.

9. Belalah mereka dan jadilah hakim yang adil. Lindungilah hak orang yang miskin dan susah.”

10. Isteri yang cekap susah ditemukan. Dia lebih berharga daripada permata.

11. Suaminya mempunyai keyakinan terhadap dia dan tidak akan kekurangan apa-apa.

12. Seumur hidupnya, dia berbuat baik kepada suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya.

13. Dia rajin mengumpulkan bulu domba dan rami, lalu sibuk menenunnya.

14. Dia mendatangkan makanan dari tempat jauh seperti yang dilakukan oleh kapal dagang.

15. Dia bangun pagi-pagi buta untuk menyediakan makanan bagi keluarganya, dan untuk memberikan arahan kepada semua hamba perempuannya.

16. Dia mencari sebidang tanah, lalu membelinya dan mengusahakan ladang anggur dengan pendapatannya.

17. Dia menyiapkan diri untuk bekerja sekuat tenaga.

18. Dia tahu bahawa segala sesuatu yang diusahakannya menguntungkan, dan dia bekerja sehingga jauh malam.

Amsal 31