Amsal 25:5-18 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Jauhkanlah penasihat yang jahat daripada raja, lalu raja akan memerintah dengan adil.

6. Apabila menghadap raja, jangan cuba berlagak seperti orang besar dan berpura-pura pandai.

7. Lebih baik dipersilakan ke tempat yang lebih terhormat daripada disuruh memberikan tempat kamu kepada orang yang lebih berpangkat.

8. Jangan tergesa-gesa membawa perkara ke mahkamah, kerana jika kemudian kamu terbukti salah, apa lagi yang dapat kamu buat?

9. Jika kamu berselisih faham dengan jiran kamu, selesaikanlah perkara itu antara kamu sendiri, dan jangan buka rahsia orang lain.

10. Jika kamu membuka rahsia orang lain, kamu akan dicap sebagai orang yang bocor mulut, dan nama kamu tercemar seumur hidup.

11. Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah emas di dalam pinggan perak.

12. Amaran yang diberikan oleh orang bijak kepada orang yang suka menerimanya adalah lebih berharga daripada cincin emas atau barang kemas.

13. Utusan yang boleh dipercayai, menyegarkan hati orang yang mengutusnya, seperti air minum yang sejuk pada musim panas.

14. Orang yang tidak menepati janjinya bagaikan awan dan angin yang tidak membawa hujan.

15. Kesabaran yang disertai kata-kata lembut dapat meyakinkan para penguasa dan menghancurkan segala tentangan.

16. Jangan makan madu banyak-banyak, nanti kamu muntah pula.

17. Jangan lawat jiran kamu terlalu sering, nanti dia bosan lalu membenci kamu.

18. Membuat tuduhan palsu bagaikan menyerang dengan pedang, belantan, atau anak panah yang tajam.

Amsal 25