Amsal 23:12-31 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Perhatikanlah ajaran guru kamu dan belajarlah sebanyak mungkin.

13. Jangan ragu-ragu mendisiplinkan anak. Mereka tidak akan mati walaupun kena rotan.

14. Sebaliknya kamu mungkin menyelamatkan nyawa mereka.

15. Hai anakku, aku gembira jika kamu bijak.

16. Aku bangga jika mendengar kamu mengucapkan kata-kata yang jujur.

17. Jangan iri hati terhadap orang yang berdosa. Hormatlah dan takutlah kepada TUHAN dengan sepenuh hati

18. supaya masa depan kamu terjamin dan harapan kamu tidak hilang.

19. Dengarlah, hai anakku! Jadilah bijaksana dan ikutlah cara hidup yang betul.

20. Jangan bergaul dengan pemabuk atau orang gelojoh,

21. kerana mereka akan jatuh miskin. Jika kamu hanya makan dan tidur, tidak lama lagi kamu akan berpakaian compang-camping.

22. Dengarkanlah nasihat bapamu, kerana tanpa dia, kamu tidak ada. Ketika ibumu tua, tunjukkanlah penghargaanmu kepadanya.

23. Ajaran yang benar, hikmat, pendidikan, dan pengertian - semua itu patut dibeli tetapi terlalu berharga untuk dijual.

24. Seorang bapa akan gembira kalau anaknya berbudi pekerti. Dia berbangga kerana anaknya bijak.

25. Semoga ibu bapamu bangga terhadapmu. Semoga ibu yang melahirkan kamu bersukacita.

26. Hai anakku, perhatikanlah baik-baik dan contohilah hidupku.

27. Pelacur dan isteri yang berzina adalah perangkap yang membawa maut.

28. Mereka menanti kamu seperti penyamun dan menyebabkan banyak lelaki berzina.

29-30. Tahukah kamu apa yang terjadi kepada orang yang terlalu banyak minum wain dan minuman keras yang lain? Orang itu sengsara dan menderita. Dia selalu bertengkar dan bersungut. Matanya merah dan badannya luka-luka, padahal semua itu dapat dihindarinya.

31. Jangan biar wain menggoda kamu, walaupun warnanya menarik, dan nampaknya berkilauan di dalam cawan, dan sedap dihirup.

Amsal 23