Amsal 19:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Lebih baik menjadi orang miskin tetapi jujur, daripada menjadi orang bodoh yang suka membohong.

2. Keghairahan tanpa pengetahuan tidak baik; orang yang tergesa-gesa akan membuat kesalahan.

3. Ada orang merosakkan hidup kerana kebodohan sendiri, lalu menyalahkan TUHAN pula.

4. Orang kaya sentiasa mendapat kawan baru, tetapi orang miskin ditinggalkan kawan.

5. Orang yang berbohong di mahkamah dan orang yang berdusta pasti dihukum.

6. Setiap orang berusaha untuk mengambil hati orang besar dan mahu bersahabat dengan dermawan.

7. Orang yang miskin tidak disukai oleh saudaranya, apalagi oleh sahabatnya. Bagaimana pun dia berusaha untuk berkawan dengan mereka, dia tidak dapat memikat mereka.

8. Sesiapa mengejar pengetahuan, mengasihi dirinya; sesiapa mengingat apa yang dipelajarinya, akan berjaya.

9. Sesiapa yang membohong di mahkamah tidak akan terlepas daripada hukuman. Dia pasti binasa.

10. Orang bodoh tidak layak hidup dalam kemewahan; hamba tidak patut memerintah penguasa.

11. Orang bijak dapat menahan kemarahan. Mereka dipuji kerana mengampunkan kesalahan orang terhadap mereka.

12. Kemurkaan raja bagaikan ngauman singa, tetapi kebaikannya bagaikan embun yang membasahi tumbuh-tumbuhan.

13. Anak yang bodoh membinasakan bapanya. Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti.

14. Rumah dan harta boleh diwarisi daripada ibu bapa, tetapi isteri yang bijak ialah kurnia daripada TUHAN.

15. Orang yang sentiasa tidur dan bermalas-malas pasti akan kelaparan.

16. Orang yang mentaati hukum Allah akan berusia panjang. Tetapi orang yang tidak mematuhi perintah-Nya akan mati.

17. Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada TUHAN. TUHAN sendiri akan membalasnya.

Amsal 19