Amsal 17:8-18 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Ada orang berpendapat bahawa rasuah dapat membuat keajaiban; mereka percaya segalanya terlaksana dengan rasuah.

9. Jika ingin disukai orang, maafkanlah kesalahan yang dilakukan mereka. Membangkit-bangkit kesalahan akan memutuskan persahabatan.

10. Satu kali ditegur ajar lebih bererti bagi orang bijak, daripada seratus kali cambukan pada orang bodoh.

11. Maut datang seperti utusan yang kejam kepada orang jahat yang selalu menimbulkan kekacauan.

12. Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya.

13. Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya.

14. Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula.

15. TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah.

16. Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal.

17. Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.

18. Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain.

Amsal 17