Amsal 16:7-23 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Apabila kamu menyenangkan hati TUHAN, musuh-musuh dapat kamu jadikan kawan.

8. Lebih baik berpendapatan kecil asalkan halal, daripada berpendapatan besar tetapi haram.

9. Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang menentukan jalan hidup manusia.

10. Raja bertitah dengan kuasa Allah; keputusan raja sentiasa betul.

11. TUHAN menghendaki timbangan dan ukuran yang tepat; jangan berlaku curang ketika berniaga.

12. Raja tidak boleh membiarkan kejahatan, kerana keadilan mengukuhkan kerajaan.

13. Raja suka mendengar apa yang benar; raja berkenan kepada orang yang bercakap jujur.

14. Jika raja murka, mungkin ada orang yang akan dibunuh; orang yang bijak berusaha untuk meredakan kemurkaan raja.

15. Anugerah raja bagaikan awan yang menurunkan hujan pada musim bunga; anugerahnya memberikan hidup sejahtera.

16. Jauh lebih baik mendapat hikmat dan pengetahuan daripada mendapat emas dan perak.

17. Orang baik menjauhi jalan kejahatan; orang yang menjaga cara hidupnya, melindungi dirinya.

18. Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan mengakibatkan keruntuhan.

19. Lebih baik rendah hati dan miskin, daripada mengikut orang sombong dan menerima bahagian barang rampasan mereka.

20. Orang yang memperhatikan ajaran akan berjaya; orang yang percaya kepada TUHAN akan berbahagia.

21. Orang yang bijak terpuji kerana pengertiannya. Semakin halus perkataannya, semakin dapat menyakinkan orang.

22. Bagi orang yang bijak, hikmat bagaikan sumber hidup bahagia. Tetapi orang yang bodoh diseksa oleh kebodohannya sendiri.

23. Orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan.

Amsal 16