Amsal 16:18-28 Alkitab Berita Baik (BM)

18. Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan mengakibatkan keruntuhan.

19. Lebih baik rendah hati dan miskin, daripada mengikut orang sombong dan menerima bahagian barang rampasan mereka.

20. Orang yang memperhatikan ajaran akan berjaya; orang yang percaya kepada TUHAN akan berbahagia.

21. Orang yang bijak terpuji kerana pengertiannya. Semakin halus perkataannya, semakin dapat menyakinkan orang.

22. Bagi orang yang bijak, hikmat bagaikan sumber hidup bahagia. Tetapi orang yang bodoh diseksa oleh kebodohannya sendiri.

23. Orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan.

24. Kata-kata yang lembut bagaikan madu - manis rasanya serta menyihatkan badan.

25. Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.

26. Keinginan untuk makan mendorong seseorang berusaha lebih giat, kerana dia ingin memuaskan seleranya.

27. Orang jahat sentiasa berusaha untuk mencelakakan orang lain; kata-kata mereka jahat seperti api yang membakar.

28. Orang jahat mengumpat; mereka menimbulkan pertengkaran dan menceraikan sahabat akrab.

Amsal 16