Amsal 15:21-33 Alkitab Berita Baik (BM)

21. Orang bodoh puas dengan kebodohan, tetapi orang bijak melakukan apa yang betul.

22. Rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat; rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan.

23. Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan.

24. Orang bijak mengambil jalan mendaki yang menuju kehidupan, bukan jalan menurun yang menuju maut.

25. TUHAN akan merobohkan rumah orang sombong, tetapi tanah milik seorang balu dilindungi-Nya.

26. TUHAN membenci fikiran yang keji, tetapi berkenan kepada kata-kata yang baik.

27. Orang yang mencari keuntungan dengan cara haram, menghancurkan keluarga mereka. Orang yang tidak makan suap akan berumur panjang.

28. Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab. Orang jahat menjawab tanpa berfikir sehingga mendatangkan kesusahan.

29. TUHAN mendengarkan doa orang baik, tetapi Dia tidak mengendahkan orang jahat.

30. Wajah gembira meriangkan hati, berita baik menyenangkan hati.

31. Orang yang mengendahkan tegur ajar, tergolong orang bijak.

32. Orang yang tidak mahu belajar, tidak menghargai diri mereka. Orang yang menerima tegur ajar, menjadi lebih bijak.

33. Hormat dan takut kepada TUHAN adalah cara memperoleh hikmat. Kehormatan didahului oleh kerendahan hati.

Amsal 15