Amsal 14:3-17 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Orang bodoh yang sombong terhukum oleh kata-kata mereka, tetapi kata-kata orang bijak melindungi mereka.

4. Tanpa lembu untuk membajak tanah, gudang menjadi kosong; tetapi dengan kekuatan lembu, gudang menjadi penuh.

5. Saksi yang jujur sentiasa mengatakan yang benar, tetapi saksi yang tidak jujur selalu berdusta.

6. Orang sombong tidak akan menjadi bijak, tetapi orang cerdas belajar dengan mudah.

7. Jauhkanlah diri daripada orang bodoh; mereka tidak dapat mengajarkan apa-apa.

8. Orang yang bijak tahu apa yang harus dilakukannya; orang yang bodoh tertipu oleh kebodohannya sendiri.

9. Orang bodoh tidak peduli sama ada dosa mereka diampunkan atau tidak, tetapi orang baik mahu dosa mereka diampunkan.

10. Suka duka seseorang dirasakannya sendiri; tiada sesiapa dapat ikut merasakannya.

11. Rumah orang baik tetap kukuh, tetapi rumah orang jahat akan roboh.

12. Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.

13. Ketawa mungkin dapat menyembunyikan kesedihan, tetapi apabila kegembiraan berakhir, kesedihan tetap ada.

14. Orang jahat akan menerima akibat kejahatan mereka, tetapi orang baik akan menerima ganjaran untuk kebaikan mereka.

15. Orang bodoh percaya kepada apa-apa sahaja, tetapi orang bijak melangkah dengan hati-hati.

16. Orang bijak berhati-hati dan menjauhi kejahatan, tetapi orang bodoh tidak berhati-hati dan bertindak tanpa berfikir dahulu.

17. Orang yang lekas marah bertindak dengan bodoh; orang bijak sentiasa bersikap tenang.

Amsal 14