Amsal 12:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Orang yang mencintai pengetahuan suka ditegur ajar. Orang yang tidak mahu ditegur ajar itu bodoh.

2. TUHAN berkenan kepada orang baik, tetapi Dia menghukum orang yang merancang kejahatan.

3. Orang tidak akan mendapat keselamatan daripada kejahatan, tetapi orang jujur tetap teguh.

4. Isteri yang baik menjadi kebanggaan dan kebahagiaan suaminya, tetapi isteri yang memalukan suaminya bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput.

5. Orang jujur memikirkan hal-hal yang baik, tetapi nasihat orang jahat penuh tipu muslihat.

6. Kata-kata orang jahat dapat membunuh, tetapi kata-kata orang jujur menyelamatkan.

7. Orang jahat akan binasa tanpa meninggalkan keturunan, tetapi orang baik sentiasa mempunyai keturunan.

8. Orang bijak menerima penghargaan; orang bodoh menerima penghinaan.

9. Lebih baik menjadi orang biasa yang mempunyai mata pencarian, daripada berlagak sebagai orang besar tetapi kelaparan.

10. Orang baik memelihara ternakan mereka, tetapi orang jahat menyeksa ternakan mereka.

Amsal 12