Amsal 10:4-17 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Orang malas akan jatuh miskin, tetapi orang rajin akan menjadi kaya.

5. Orang bijak mengumpulkan hasil pada musim menuai; orang yang tidur pada waktu itu mendatangkan malu.

6. Orang baik akan menerima berkat. Orang jahat menyembunyikan kekejaman di balik kata-kata mereka.

7. Orang baik akan sentiasa dikenang, sedangkan orang jahat akan segera dilupakan.

8. Orang bijak suka menerima nasihat. Orang yang merepek akan binasa.

9. Orang jujur akan hidup aman, tetapi orang yang menipu akhirnya akan ketahuan.

10. Orang yang menyembunyikan kebenaran menimbulkan kesusahan, tetapi orang yang menegur ajar dengan terus-terang mendatangkan kesejahteraan.

11. Kata-kata orang baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi di balik kata-kata orang jahat tersembunyi kekejaman.

12. Kebencian menimbulkan pertengkaran, tetapi kasih mengampunkan segala kesalahan.

13. Orang cerdik mengucapkan kata-kata bijak, tetapi orang bodoh perlu dihukum.

14. Orang bijak mengumpulkan ilmu, tetapi orang bodoh menimbulkan kekacauan dengan repekan mereka.

15. Kekayaan melindungi orang kaya, tetapi kemiskinan membinasakan orang miskin.

16. Perbuatan baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi dosa hanya mengakibatkan lebih banyak dosa.

17. Orang yang menerima teguran akan hidup sejahtera, tetapi orang yang tidak mahu mengakui kesalahannya berada dalam bahaya.

Amsal 10