Amsal 10:19-32 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Semakin banyak bercakap, semakin besar kemungkinan berdosa. Orang bijak berhati-hati dengan kata-kata mereka.

20. Perkataan orang baik bagaikan perak murni, tetapi buah fikiran orang jahat tidak bererti.

21. Perkataan orang baik merupakan berkat bagi banyak orang, tetapi orang bodoh mati kerana kebodohan mereka.

22. Berkat TUHAN sahajalah yang menjadikan orang kaya. Kerja keras tidak akan menambah kekayaan.

23. Orang bodoh menyukai perbuatan salah; orang bijak menyukai hikmat.

24. Orang baik mendapat keinginan mereka, tetapi orang jahat mendapat apa yang paling ditakuti mereka.

25. Orang jahat lenyap apabila ribut melanda, tetapi orang jujur tetap selamat.

26. Jangan suruh orang malas kerana mereka menyusahkan sahaja seperti gigi ngilu kena cuka atau mata pedih kena asap.

27. Orang yang takut dan hormat kepada TUHAN akan hidup lama; orang jahat akan mati sebelum saatnya.

28. Harapan orang baik menjadikan mereka bahagia, tetapi harapan orang jahat kosong belaka.

29. TUHAN melindungi orang jujur, tetapi Dia membinasakan orang jahat.

30. Orang baik akan tetap hidup selamat, tetapi orang jahat akan kehilangan tanah pusaka.

31. Orang jujur akan berucap dengan bijak, tetapi mulut pendusta akan dibungkamkan.

32. Kata-kata orang baik menyenangkan hati, tetapi kata-kata orang jahat sentiasa menyakitkan hati.

Amsal 10