6. Saudara-saudaraku, demi nama Tuhan Yesus Kristus, kami memerintah kamu supaya menjauhkan diri daripada semua saudara yang hidup bermalas-malas, dan yang tidak mengikut ajaran yang kami berikan.
7. Kamu sendiri tahu bahawa kamu harus melakukan apa yang telah kami lakukan. Semasa kami bersama-sama kamu, kami tidak bermalas-malas.
8. Kami membayar semua makanan yang kami makan. Kami bekerja dengan tidak mengenal lelah, supaya kami tidak menjadi beban kepada sesiapa pun di kalangan kamu.
9. Kami berbuat demikian bukan kerana kami tidak berhak menuntut pertolongan kamu, tetapi supaya kami menjadi teladan kepada kamu.
10. Semasa kami bersama-sama kamu, kami memberikan peraturan berikut, “Orang yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.”
11. Kami berkata demikian kerana kami mendengar bahawa ada beberapa orang di kalangan kamu yang bermalas-malas. Mereka tidak melakukan sesuatu pun kecuali mencampuri urusan orang lain.
12. Demi nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintah dan memperingatkan orang seperti itu, bahawa mereka mesti hidup dengan sepatutnya dan mencari nafkah sendiri.
13. Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, janganlah jemu berbuat baik.
14. Mungkin ada orang yang tidak mahu mengikut apa yang kami katakan di dalam surat ini. Jika demikian, perhatikanlah mereka dan jangan bergaul dengan mereka agar mereka malu.
15. Tetapi janganlah anggap mereka sebagai musuh. Sebaliknya, nasihatilah mereka sebagai saudara.
16. Semoga Tuhan, sumber kesejahteraan kita, sentiasa mengurniai kamu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan menyertai kamu semua.
17. Dengan tanganku sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Demikianlah caraku menandatangani semua suratku dan beginilah aku menulisnya.