6. Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuanku lebih besar daripada apa yang telah diberitakan kepada beta.
7. Berbahagialah para pegawai yang sentiasa melayani tuanku, yang berpeluang mendengar ucapan-ucapan tuanku yang bijak!
8. Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja untuk memerintah atas nama-Nya. Oleh sebab Dia mengasihi umat-Nya Israel dan mahu memelihara mereka selama-lamanya, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka, supaya tuanku dapat menegakkan hukum dan keadilan.”
9. Ratu negeri Syeba mempersembahkan hadiah-hadiah yang telah dibawanya kepada Raja Salomo, iaitu lebih daripada 4,000 kilogram emas, dan rempah serta batu permata yang banyak sekali. Tidak pernah lagi Raja Salomo menerima rempah-rempah yang begitu baik mutunya seperti yang diberikan oleh ratu negeri Syeba.(
10. Anak buah Raja Hiram dan anak buah Raja Salomo yang membawa emas dari Ofir juga membawa kayu cendana dan batu permata.
11. Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat tangga bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi serta gambus bagi para pemuzik. Belum pernah barang-barang seperti itu dilihat di negeri Yehuda.)
12. Raja Salomo memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Pemberian itu ialah tambahan kepada apa yang telah diberikannya untuk membalas hadiah ratu itu. Selepas itu ratu Syeba dan pengiring-pengiringnya pulang ke negeri Syeba.
15. Raja Salomo membuat 200 buah perisai besar yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 7 kilogram.
16. Baginda juga membuat 300 buah perisai kecil yang setiap satunya dilapisi emas tempaan seberat 3 kilogram. Baginda meletakkan semua perisai itu di Dewan Hutan Lebanon.
17. Raja Salomo juga membuat sebuah takhta besar daripada gading yang dilapis dengan emas tulen.
18. Takhta itu mempunyai enam buah anak tangga, dan di bawahnya ada sebuah alas kaki yang juga dilapisi emas. Takhta itu mempunyai lengan dan pada setiap sisinya ada patung singa.