1. Raja Salomo mengambil masa dua puluh tahun untuk membina Rumah TUHAN dan istananya.
2. Baginda juga membina semula kota-kota yang diberikan oleh Raja Hiram kepadanya dan menyuruh umat Israel tinggal di situ.
3. Raja Salomo merebut daerah Hamat dan Zoba,
4. lalu mengukuhkan kota Tadmor di padang gurun. Baginda membina semula semua kota di Hamat yang dahulunya pusat penyimpanan perbekalan.
5. Raja Salomo juga membina semula kota-kota berikut: Bet-Horon-Hulu dan Bet-Horon-Hilir (kota-kota berkubu dengan pintu-pintu gerbang yang berpalang),
6. kota Baalat, semua kota tempat baginda menyimpan perbekalan, dan kota-kota pangkalan kuda dan kereta kudanya. Demikianlah baginda membina bangunan-bangunan di Yerusalem, Lebanon, dan seluruh kawasan yang diperintahnya.
9. Tetapi orang Israel tidak disuruh melakukan kerja paksa. Mereka bekerja selaku askar, pegawai, panglima pasukan berkereta kuda, dan anggota pasukan berkuda.
10. Sebanyak 250 orang pegawai mengetuai orang rodi yang bekerja dalam berbagai-bagai projek pembinaan.
11. Raja Salomo memindahkan isteri baginda, puteri raja Mesir, dari Kota Daud ke tempat kediaman yang dibinanya khas untuk isterinya itu. Raja Salomo bertitah, “Dia tidak boleh tinggal di istana Raja Daud, raja Israel, kerana di mana-mana Tabut Perjanjian pernah disimpan, tempat itu suci.”
12. Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di atas mazbah yang dibinanya di depan Rumah TUHAN.
13. Baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN menurut peraturan Taurat Musa bagi tiap-tiap perayaan yang ditetapkan: hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, dan tiga lagi perayaan tahunan, iaitu Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun.
14. Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Raja Daud, ayahandanya, Raja Salomo menentukan pekerjaan harian bagi para imam dan orang Lewi yang membantu imam menyanyikan lagu-lagu mazmur, serta membantu dalam pekerjaan imam. Raja Salomo juga menyusun kumpulan pengawal Rumah TUHAN bagi tugas harian mereka di setiap pintu gerbang, menurut perintah Raja Daud, hamba Allah itu.
15. Perintah Raja Daud kepada para imam dan orang Lewi tentang stor-stor dan hal-hal lain, semuanya telah dilaksanakan dengan teliti.