2 Tawarikh 6:27-42 Alkitab Berita Baik (BM)

27. ya TUHAN di syurga, kabulkanlah permintaan mereka dan ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu, umat Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar, lalu turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya.

28. Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang oleh musuh, atau penyakit,

29. dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini,

30. dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga dan ampunilah mereka. Hanya Engkau yang mengetahui isi hati manusia. Oleh itu perlakukanlah setiap orang setimpal dengan perbuatannya,

31. supaya umat-Mu takut dan taat kepada-Mu selama mereka tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami.

32. Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang keagungan dan kekuatan-Mu, dan bahawa Engkau sentiasa sedia bertindak, lalu dia datang ke Rumah ini dan berdoa kepada-Mu,

33. dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya, supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu.

34. Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah yang telah aku bina untuk-Mu,

35. dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan.

36. Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu - kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa - dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh,

37. dengarkanlah doa umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN.

38. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami, dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu,

39. dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah mereka dan kasihanilah mereka. Ampunkanlah semua dosa umat-Mu.

40. Sekarang, ya Allahku, pandanglah kami dan dengarkanlah doa yang disampaikan kepada-Mu di tempat ini.

41. Bangkitlah sekarang, ya TUHAN Allah, dan dengan Tabut Perjanjian lambang kekuasaan-Mu itu, masuklah ke Rumah ini dan tinggallah di sini selama-lamanya. Berkatilah para imam-Mu dalam segala pekerjaan mereka, dan semoga segenap umat-Mu bersukacita kerana kebaikan-Mu kepada mereka.

42. Ya TUHAN Allah, janganlah tolak raja yang telah Engkau pilih. Ingatlah akan kasih-Mu kepada hamba-Mu Daud.”

2 Tawarikh 6