14. Baginda berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati.
15. Engkau telah menepati janji-Mu kepada bapaku Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan.
16. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji yang satu lagi kepada bapaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya, akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada Taurat-Mu seperti Raja Daud.
17. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada bapaku Raja Daud, hamba-Mu itu.
18. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi ini, di kalangan manusia? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah aku bina!
19. Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku.
20. Lindungilah Rumah ini siang dan malam. Engkau telah berjanji bahawa inilah tempat orang beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap Rumah ini dan berdoa kepada-Mu.
21. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu Israel apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami.
22. Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah,
23. dengarkanlah, ya TUHAN dari syurga, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah.
24. Apabila umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni,
25. semoga Engkau di syurga mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang telah Engkau berikan kepada mereka dan nenek moyang mereka.
26. Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati,
27. ya TUHAN di syurga, kabulkanlah permintaan mereka dan ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu, umat Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar, lalu turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya.