2 Tawarikh 36:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Penduduk Yehuda memilih Raja Yoahas putera Raja Yosia, dan melantik baginda menjadi raja di Yerusalem.

2. Raja Yoahas berusia dua puluh tiga tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga bulan.

3. Raja Nekho dari Mesir, menawan Raja Yoahas dan memaksa Yehuda membayar ufti sebanyak 3,400 kilogram perak dan 34 kilogram emas.

4. Raja Nekho memilih Raja Elyakim saudara Raja Yoahas, menjadi raja Yehuda, lalu menukar nama Raja Elyakim menjadi Raja Yoyakim. Raja Yoahas dibawa oleh Raja Nekho ke Mesir.

5. Raja Yoyakim berumur dua puluh lima tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun. Raja Yoyakim berdosa terhadap TUHAN, Allahnya.

6. Raja Nebukadnezar dari Babilonia menyerang Yehuda. Baginda menangkap Raja Yoyakim, membelenggunya, lalu membawa baginda ke Babilonia.

7. Raja Nebukadnezar membawa sebahagian harta dari Rumah TUHAN ke istananya di Babel.

8. Segala perbuatan Raja Yoyakim, termasuk perbuatannya yang keji dan jahat, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Israel dan Yehuda. Puteranya, Yoyakhin menggantikan baginda sebagai raja.

9. Raja Yoyakhin berumur lapan belas tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga bulan dan sepuluh hari. Raja Yoyakhin juga berdosa terhadap TUHAN.

10. Pada musim bunga tahun itu, Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakhin dan membawanya ke Babilonia. Raja Nebukadnezar juga membawa harta dari Rumah TUHAN. Selepas itu Raja Nebukadnezar memilih Zedekia, bapa saudara Raja Yoyakhin, menjadi raja Yehuda dan Yerusalem.

11. Zedekia berusia 21 tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama sebelas tahun.

12. Raja Zedekia berdosa terhadap TUHAN, dan tidak mahu merendahkan diri untuk mendengar Nabi Yeremia, yang telah menyampaikan firman TUHAN.

13. Raja Zedekia memberontak terhadap Raja Nebukadnezar, yang memaksa baginda bersumpah demi Allah bahawa baginda akan setia kepada Raja Nebukadnezar. Raja Zedekia berdegil dan tidak mahu bertaubat serta kembali kepada TUHAN, Allah Israel.

14. Selain itu, pemimpin-pemimpin Yehuda, para imam, dan rakyat mengikut cara hidup bangsa-bangsa jiran yang berdosa. Mereka menyembah berhala dan menajiskan Rumah TUHAN, yang telah dikhaskan oleh TUHAN sendiri bagi diri-Nya.

15. Selama itu TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengutus nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya, kerana Dia hendak menyelamatkan mereka dan Rumah TUHAN.

16. Tetapi mereka mempermainkan utusan-utusan Allah itu, tidak menghiraukan firman-Nya, dan mentertawakan nabi-nabi-Nya. Akhirnya, TUHAN sangat murka terhadap mereka sehingga tiada lagi jalan keluar untuk melepaskan diri umat-Nya daripada hukuman-Nya.

17. Oleh itu TUHAN mendatangkan raja Babilonia untuk menyerang mereka. Raja Babilonia membunuh kaum belia Yehuda, bahkan orang yang berada di dalam Rumah TUHAN. Raja itu tidak mengasihani sesiapa pun, muda atau tua, lelaki atau perempuan, orang sakit ataupun orang sihat. Allah menyerahkan mereka semua kepada raja Babilonia.

2 Tawarikh 36